Beri ruang anak berdikari di sekolah


Beri ruang anak berdikari di sekolah
IBU bapa perlu memberi kepercayaan dan tanggungjawab kepada anak supaya dapat menggalakkan mereka untuk berdikari.
Oleh Meja Rencana
4 Mac 2025, 9:00 am

IBU bapa perlu memberi peluang dan ruang kepada anak yang baharu memulakan persekolahan untuk berdikari. Ini kerana kemampuan berdikari merupakan salah satu kemahiran hidup yang penting bagi kanak-kanak dalam menghadapi cabaran masa hadapan.

Anak yang mandiri lebih cenderung untuk menjadi individu yang bertanggungjawab, yakin diri dan berdaya saing.

Di peringkat sekolah, kemahiran ini menjadi lebih signifikan kerana di sinilah mereka mula belajar berdikari tanpa pengawasan ibu bapa yang berterusan.

Oleh itu, membentuk anak yang mandiri di sekolah adalah usaha yang perlu dilakukan secara terancang dan berkesan.

Antara kepentingannya adalah dapat meningkatkan keyakinan diri dan motivasi, yakin apabila membuat keputusan, mempunyai motivasi intrinsik yang lebih tinggi, pencapaian akademik lebih baik, mampu menganalisis masalah dan mencari penyelesaian secara kreatif serta kritis dan lain-lain lagi.

Dalam dunia yang semakin kompleks dan kompetitif, kemahiran berdikari membolehkan individu beradaptasi dengan perubahan dan bersaing dalam persekitaran global. Ini bermakna, mereka tidak terikat kepada satu cara pemikiran sahaja, sebaliknya boleh menyesuaikan diri dengan situasi yang berbeza.

Pun begitu, ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam membentuk sikap mandiri sejak kecil. Sikap terlalu mengawal boleh menghalang perkembangan kemahiran berdikari. Sebaliknya, memberi kepercayaan dan tanggungjawab kepada anak akan menggalakkan mereka untuk berdikari.

Membentuk anak mandiri di sekolah adalah pelaburan jangka panjang yang memberi manfaat besar bukan sahaja dalam pencapaian akademik tetapi juga dalam perkembangan emosi, sosial dan kemahiran hidup.

Dalam dunia hari ini, kemahiran ini menjadi semakin penting bagi menyediakan generasi muda untuk beradaptasi dan berjaya dalam kehidupan dewasa mereka. Dengan memahami dan melaksanakan strategi yang berkesan dalam membentuk anak mandiri di sekolah, kita dapat melahirkan generasi yang lebih yakin diri, kreatif dan berdikari dalam menghadapi cabaran masa hadapan.-UTUSAN

JERINA IBRAHIM
Jabatan Perdagangan, Politeknik Nilai

Ulasan