Demokratik sangatkah Parti Tindakan Demokratik?




Demokratik sangatkah Parti Tindakan Demokratik?
March 21, 2025

Semua sudah tahu keputusan pemilihan Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam, Selangor, minggu lalu.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo mendahului senarai CEC apabila memperoleh undi tertinggi sebanyak 2,785 undi. Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen (2,631) di tempat kedua; Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching (2,585) di tempat ketiga dan tempat keempat ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Sekinchan, Ng Suee Lim (2,563).

Menteri Pengangkutan yang juga Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook pula hanya menduduki tempat kelima undian tertinggi dengan 2,508 undi.

Di sebalik cakap-cakap politik mengenai gerakan untuk menyingkirkannya, Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berjaya mempertahankan kedudukannya untuk terus berada dalam barisan 30 CEC selepas memperoleh 1,719 undi untuk berada di tangga ke-26.

Antara fakta menarik dan penting yang membezakan DAP berbanding parti politik lain di negara ini ialah hierarki dan sistem pemilihan pemimpin tertinggi dilakukan.

Jika dalam PAS, Umno, PKR dan parti lain, jawatan paling penting ialah Presiden, diikuti Timbalan Presiden dan jawatan lain. Namun dalam DAP yang tidak mempunyai jawatan Presiden, orang yang paling berkuasa ialah Setiausaha Agung.

Dalam sistem pemilihan pimpinan parti lain, ahli atau perwakilan yang menghadiri mesyuarat agung akan memilih pemimpin tertinggi hingga ke peringkat ahli jawatankuasa. Bagaimanapun dalam DAP, 30 CEC akan bermesyuarat dalam kalangan mereka dan secara sulit memilih barisan pemimpin parti itu.

Adakah sistem pemilihan DAP bagus? Jika berdasarkan keputusan pemilihan CEC di Shah Alam, Gobind Singh sepatutnya menjadi pemimpin tertinggi DAP, iaitu sebagai Setiausaha Agung kerana beliau mendapat kepercayaan perwakilan yang memberikannya jumlah undi paling banyak.

Namun, beliau dilantik menjadi Pengerusi Kebangsaan DAP. Sebaliknya, Anthony Loke yang perwakilan meletakkannya di tangga kelima yang menjadi Setiausaha Agung.

Dalam sistem pemilihan pemimpin DAP, sama ada di peringkat pusat atau negeri, kem mana yang memperolehi wakil paling ramai dalam barisan jawatankuasa negeri atau CEC akan menentukan siapakah dalam kalangan ‘calon’ mereka yang akan menjadi pemimpin tertinggi.

Kali ini, kem Anthony Loke menentukan segala-galanya. Natijahnya, Guan Eng `ditolak’ sebagai Penasihat, jawatan diplomatik sebelum ditunjukkan jalan keluar.

Sistem DAP terdedah kepada manipulasi permainan politik. Dalam pemilihan peringkat jawatankuasa negeri Selangor pernah berlaku Teresa Kok (sekarang Ahli Parlimen Seputeh) menduduki tempat ke-11 dengan 437 undi, manakala Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Teng Chang Khim di tempat keempat dengan 524 undi.

Namun oleh kerana calon dari kem Teresa Kok lebih ramai yang menang, beliau dipilih sebagai Pengerusi DAP Selangor.

Ini juga yang berlaku dalam pemilihan 15 ahli jawatankuasa DAP Pulau Pinang tahun lalu. Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh memperoleh undi tertinggi, iaitu sebanyak 1,247 undi, diikuti oleh Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim dengan 1,237 undi.

Namun `kuasa luar’ meletakkan Sim sebagai Pengerusi DAP Pulau Pinang dan Ramkarpal sebagai timbalannya. Adik Guan Eng, Hui Ying yang menduduki tempat ke-12 (827 undi) pula dilantik sebagai Setiausaha.

Apa yang berlaku dalam pemilihan CEC dan pemilihan peringkat negeri di Selangor dan Pulau Pinang, menunjukkan bahawa manipulasi yang begitu mudah berlaku apa sebilangan kecil pemimpin mengenepikan suara akar umbi untuk menentukan barisan pemimpin yang secocok dengan citarasa mereka. – HARAKAHDAILY 21/3/2025

Ulasan