Gaji Ahli Parlimen: ‘PMX sedar ke apa yang dia cakap?’



Gaji Ahli Parlimen: ‘PMX sedar ke apa yang dia cakap?’
March 10, 2025

KUALA LUMPUR: Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Hanif Jamaluddin membidas kenyataan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX) yang mengisukan mengenai gaji Ahli Parlimen.

Beliau berkata, jumlah gaji dan elaun iterima Ahli Parlimen tidaklah sebanyak digambarkan, malah tidak mencukupi untuk menampung pelbagai keperluan masyarakat yang sering memohon bantuan.

“PMX ni sedar ke apa yang dia cakap? Pertama, gaji dan elaun Ahli Parlimen RM30,000 pun tak sampai! Kedua, kita letaklah gaji YB RM30,000 sebulan, cukup ke?

“Meh sini nak bagitau PMX yang hebat tatakelolanya,” katanya menegaskan bahawa pendapatan wakil rakyat bukan untuk kegunaan peribadi semata-mata tetapi turut digunakan untuk membantu rakyat.

Beliau menjelaskan bahawa wakil rakyat perlu berdepan dengan pelbagai permintaan daripada rakyat, termasuk bantuan kewangan untuk membayar yuran sekolah, membantu mangsa bencana, dan menyantuni keluarga yang kehilangan ahli tersayang.

“Hari-hari orang datang rumah minta sumbangan. Ada yang nak bayar yuran sekolah anak, ada rumah kena ribut, ada yang baru kehilangan ahli keluarga. Tak campur lagi jemputan kenduri, program sana sini, hulur duit minyak, tolong orang susah. Nak bagi pakai duit mana?” katanya.

Menurutnya, jika sesuatu kawasan mempunyai 30,000 penduduk dan setiap seorang meminta hanya seringgit, jumlah tersebut sudahpun mencecah RM30,000 sebulan.

“Orang nampak gaji besar, tapi tak ramai yang faham duit tu bukan untuk YB seorang. Nak jaga rakyat, nak turun padang, nak tolong orang semua pakai duit sendiri. Bukan semua benda kerajaan tanggung,” katanya.

Muhammad Hanif turut membangkitkan isu peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang, terutamanya dalam bulan Ramadan di mana keperluan sumbangan semakin meningkat.

“Ni dalam bulan Ramadan, masjid surau hantar surat mohon sumbangan iftar, moreh, sahur. Nak ambil dari mana duit? Dari poket sendiri la juga,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana wakil rakyat dapat melaksanakan tugas mereka dengan baik sekiranya tiada sumber kewangan yang mencukupi.

“YB ni nak hidup macam mana? Nak naik kereta lembu pergi majlis? Makan telur mata hari-hari? Duduk pondok durian?” soalnya.

Menurut beliau, sebab itulah Ahli Parlimen pembangkang memperjuangkan peruntukan mereka, kerana rakyat di kawasan pembangkang juga adalah rakyat Malaysia yang turut menyokong kerajaan.

Sebab tu Ahli Parlimen pembangkang perjuangkan sunguh-sungguh peruntukan mereka. Rakyat di kawasan mereka rakyat Malaysia jugak, ada antara mereka yang undi parti kerjaan.

“Mohon PMX jujur bila berkata-kata,” katanya sebagai reaksi balas kepada Anwar yang dilaporkan media tempatan menegaskan bahawa gaji Ahli Parlimen termasuk elaun boleh mencecah RM30,000 hingga RM40,000.

Justeru kata PMX, dakwaan bahawa Ahli Parlimen menjadi miskin akibat kekurangan peruntukan tidak sepatutnya timbul tetapi masalah hanya berlaku jika Ahli Parlimen gagal mengurus kewangan dengan baik, kerana projek untuk rakyat masih diteruskan walaupun tanpa melalui mereka. – HARAKAHDAILY 10/3/2025

Ulasan