Gaza diserang Zionis: Di mana peranan OIC?


Gaza diserang Zionis: Di mana peranan OIC?
March 21, 2025

JOHOR BAHRU: Ketua Penerangan PAS Negeri Johor, Abu Irfan Muhammad Al-Urduni mempersoal peranan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) sedunia berhubung serangan Israel terhadap rakyat Palestin selepas gencatan senjata fasa pertama berakhir.

“Dalam keadaan yang menyayat hati ini di manakah peranan OIC? Di manakah tanggungjawab persaudaraan sesama Islam dalam kalangan pemimpin negara Islam.

“Sudah lupakah mereka tentang itu atau mereka pula pengikut telunjuk Yahudi laknatullah? Gaza umpama hidangan makanan yang diratah oleh orang yang lapar.

“Namun semangat juang rakyat Gaza masih teguh. Anak-anak yang riang gembira tiba-tiba terbujur kaku. Tiada lagi hilai tawa mereka.

“Orang tua dan wanita yang masih hidup pula terpaksa berpindah randah untuk menyelamatkan nyawa dalam keadaan kemudahan yang tiada dan ancaman yang terbuka,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Abu Irfan, pembunuhan dan kezaliman terhadap rakyat Palestin adalah genosid terburuk dekad ini yang dilakukan puak Zionis laknatullah ketika umat Islam Palestin sedang berpuasa.

“Serangan yang mengakibatkan ramai terkorban secara jelas dipersetujui oleh Amerika Syarikat (AS) dalam misi memberikan tekanan terhadap rakyat Palestin agar mereka meninggalkan Gaza.

“Apakah kita reda dengan apa yang berlaku di Gaza masa kini? Pastinya sebagai umat Islam kita tidak meredainya, bahkan masyarakat dunia termasuk bukan Muslim juga tidak menyetujui perkara tersebut. Perlakuan yang melampaui batas kemanusiaan.

“Justeru sebagai umat Islam kita perlu merebut keberkatan bulan Ramadan ini bagi berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT untuk masa depan Palestin yang gemilang.

“Palestin adalah titik penyatuan ummah Islam keseluruhannya. Allaahuakbar walillaahil hamd,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/3/2025

Ulasan