
Guan Eng perlu kembali ke sekolah belajar sejarah
Kerana mempersoalkan hak istimewa Bumiputera
March 7, 2025
KUANTAN: Tindakan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan menuntut 10 peratus peruntukan bajet untuk bukan Bumiputera seolah-olah tidak memahami kompleksiti sebenar cabaran ekonomi negara.
Ketua Penerangan PAS Pahang, Aireroshairi Roslan, menyifatkan Guan Eng kini seperti ‘kaduk naik junjung’ kerana merasa dirinya layak mempersoalkan hak istimewa telah termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.
“Bayangkan seorang tetamu yang baru masuk ke rumah, kemudian mencuba mengubah susunan perabot tuan rumah. Beginilah sikap Lim Guan Eng terhadap hak istimewa Bumiputera.
“Beliau lupa, rumah ini dibina dengan sejarah perjuangan dengan pengorbanan generasi yang datang sebelum mereka. Bukan sekadar untuk diagih-agihkan mengikut kehendak politik sempit,” katanya menerusi kenyataan di _Facebook_ pada Khamis.
Beliau berkata, purata pendapatan isi rumah Bumiputera hanya RM5,420, manakala kaum Cina pula RM8,477 menurut statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 2022.
“Jurang ekonomi ini bukan rekaan, ia realiti yang memerlukan intervensi berterusan. Adakah Lim Guan Eng sanggup menyangkal fakta ini? Keistimewaan bukan sekadar kuota atau bajet, ia adalah kontrak sosial yang dipersetujui sejak pembentukan negara.
“Setiap kali ia dipersoalkan, ia bagaikan mencabar kesabaran sejarah perjuangan bangsa. DAP tidak faham atau sengaja tidak mahu memahami makna sebenar keharmonian nasional?
“Lim Guan Eng barangkali perlu kembali ke bangku sekolah dan belajar sejarah perjuangan kemerdekaan supaya faham bahawa hak istimewa bumiputera bukan sekadar ‘pemberian’, ia adalah janji yang dijamin dalam Perlembagaan,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Mohd Hafez Sabri, berkata perniagaan bukan Bumiputera kini menjadi empayar yang besar dan menguasai pemilikan hartanah bernilai tinggi di bandar.
“Semua pihak maklum akan perkara ini. Namun jurang ini masih tinggi dan ini terbukti melalui kenyataan Pengerusi Bursa Malaysia tempoh hari, iaitu daripada 1,000 syarikat yang tersenarai dalam Bursa Malaysia, hanya 62 syarikat dikuasai Bumiputera,” katanya.
Justeru, Hafez berharap kerajaan tidak termakan dengan hujah ‘Kerajaan Perpaduan yang menjaga semua rakyat’ yang dikemukakan Guan Eng ketika menuntut peruntukan ini kerana secara tersiratnya adalah agenda kesaksamaan yang diperjuangkan. – HARAKAHDAILY 7/3/2025
Ulasan
Catat Ulasan