Hadkan tempoh PM: Tun M tidak bersetuju


Hadkan tempoh PM: Tun M tidak bersetuju
DR. MAHATHIR MOHAMAD
Oleh AFIERA ZULAIERA MOHD. KHAIRULAZMI
21 Mac 2025, 2:50 pm

PETALING JAYA: Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak bersetuju dengan cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada hanya dua penggal.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, terdapat cara lain untuk mengetepikan seorang Perdana Menteri dari jawatan tersebut dan menetapkan had penggal bukan langkah yang tepat.

Menjadikan dirinya sebagai contoh, beliau berkata, masih banyak perkara yang tidak dapat diselesaikan ketika menjawat jawatan Perdana Menteri selama 22 tahun sebelum ini.

Jelasnya, perkara yang lebih penting bukanlah tempoh seseorang menjadi Perdana Menteri, sebaliknya individu tersebut boleh disingkirkan sekiranya tidak menjalankan tugas dengan baik.

“Tugas tersebut terletak pada tanggungjawab ahli-ahli Parlimen tanpa mengira berapa lama seseorang itu menjadi Perdana Menteri,” katanya.

Dr. Mahathir turut menyatakan bahawa mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun tidak akan memberikan kesan yang baik kepada negara.

“Kalau itu amalan kita, kita pendekkan masa kepada 10 tahun. Saya yakin tidak akan berkesan.

“Banyak masalah yang tidak dapat diselesaikan dalam jangka masa yang ditetapkan,” katanya kepada media pada Majlis Berbuka Puasa di Putrajaya semalam.

Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan bersetuju dengan cadangan untuk mengehadkan tempoh sebagai Perdana Menteri kepada 10 tahun atau dua penggal sahaja.

Perdana Menteri berkata, jika cadangan itu mendapat sokongan dua pertiga daripada ahli Parlimen, ia boleh diusul di Dewan Rakyat supaya Perlembagaan Persekutuan mengenainya dipinda.

Sehubungan itu, beberapa pemimpin parti politik tampil memberikan pandangan mereka dengan masing-masing bercanggah pendapat dan meminta kajian lanjut dilakukan.

Mengulas lanjut, Dr. Mahathir menegaskan, langkah tersebut tidak menjamin negara akan selamat daripada berdepan masalah.

“Kalau kurangkan penggal tetapi dia orang yang tidak baik, dia masih boleh buat pelbagai benda yang rosakkan negara.

“Namun kalau dia seorang Perdana Menteri yang berjaya, baik dan disukai ramai, tempoh 10 tahun itu tidak mencukupi,” jelasnya. – UTUSAN

Ulasan