
Hampir 60 peratus wanita Malaysia alami diskriminasi di tempat kerja
WANITA dikatakan sering didiskriminasi dalam aspek kenaikan pangkat dan gaji. - GAMBAR HIASAN
Oleh NURUL IRDINA SUMALI
8 Mac 2025, 6:50 am
PETALING JAYA: Hampir 60 peratus wanita bekerjaya di Malaysia mempunyai detik hitam di tempat kerja selepas mendakwa sekurang-kurangnya perlu menempuh satu bentuk diskriminasi seperti isu kenaikan pangkat dan perbezaan jurang gaji.
Berdasarkan kajian oleh Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) pada 2020, respons daripada 1,010 wanita atau 47 peratus wanita pernah ditanya mengenai status perkahwinan semasa melalui proses temuduga kerja.
Manakala satu daripada lima wanita pernah ditanya mengenai kemampuan mereka melakukan tugas-tugas tertentu sebagai seorang wanita.
Lebih mengejutkan, kajian tersebut mendedahkan sebanyak 62 peratus wanita di Malaysia pernah mengalami gangguan seksual di tempat kerja, sekali gus menjadikan isu ini sebagai satu kebimbangan serius yang memerlukan perhatian segera.
Pengarah Eksekutif WAO, Sumitra Visvanathan berkata, diskriminasi gender masih lagi berlaku dan membelengu kaum wanita yang terlibat dalam sektor pekerjaan.
“Kami menerima banyak laporan daripada wanita yang tidak diberikan peluang kenaikan pangkat hanya kerana mereka dijangka akan mempunyai tanggungjawab keluarga yang lebih besar,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Selain itu, kajian turut menunjukkan bahawa wanita lebih cenderung mengalami gangguan seksual di tempat kerja dengan sebahagian besar responden menyatakan bahawa mereka tidak berani bersuara kerana bimbang kehilangan pekerjaan atau tidak dipercayai oleh majikan.
Menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), penglibatan kaum wanita dalam tenaga kerja hanya menyumbang sebanyak 38.8 peratus (6.71 juta orang) berbanding lelaki yang mencatatkan 61.2 peratus (10.56 juta orang).
Senario ini menyebabkan penyertaan wanita dalam sektor pekerjaan masih rendah berbanding lelaki.
Pakar kekeluargaan, Ketua Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Nik Ahmad Sufian Burhan berkata, kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) perlu mengambil inisiatif segera bagi membela nasib wanita.
Katanya, kerajaan perlu menetapkan satu regulasi bagi menghalang majikan untuk tidak bertanyakan status perkahwinan ketika temuduga.
“Malaysia boleh mencontohi negara seperti Sweden dan Jepun telah menunjukkan kejayaan menerusi dasar mesra wanita.
“Sweden menyediakan subsidi penjagaan anak serta waktu kerja fleksibel bagi ibu bapa, manakala Jepun memperkenalkan program ‘Telework Days’ untuk menggalakkan kerja dari rumah,” katanya.
Katanya, langkah itu akan meningkatkan sektor ekonomi negara dengan memastikan lebih ramai wanita kekal dalam tenaga kerja serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi jangka panjang. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan