
Helikopter ATM: Kenapa kita bayar lebih mahal?
March 3, 2025
KUALA LUMPUR: Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) mendesak kerajaan memberi penjelasan berhubung pembelian helikopter Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dilihat jauh lebih mahal berbanding negara lain, termasuk Poland.
Menurutnya, ATM sering mengalami kelewatan dalam penyelenggaraan pesawat dan radar, menyebabkan kerajaan terpaksa memohon peruntukan tambahan setiap tahun.
“Mengikut rekod Angkatan Tentera Malaysia sepertimana yang lepas-lepas sangat tidak berkeyakinanlah, tidak boleh nak capai ‘due date’ yang telah diletakkan dan masih lagi sampai sekarang tiap-tiap tahun minta peruntukan tambahan.
“Untuk apa? Kita nak kena tengok duit yang dibelanjakan ini adalah apa duit rakyat,” katanya turut membandingkan kos perolehan helikopter AW149 oleh Malaysia dan Poland.
Menurutnya, Poland membeli 32 unit helikopter versi tentera dengan harga RM8.7 bilion, termasuk pemasangan, latihan, simulator, alat ganti, serta persenjataan.
Sebaliknya, Malaysia membayar RM16.5 bilion untuk hanya 28 helikopter model AW149, AW139, dan AW189 melalui sistem sewa beli selama 15 tahun, sebelum dijual kepada kerajaan pada harga RM1 seunit.
“Kita bayar lebih mahal dari mereka iaitu RM16.5 atau lebih untuk 28 helikopter yang sama,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2024) di peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Pertahanan (MINDEF), di sini hari ini.
Beliau juga mempertikaikan bagaimana harga sebuah helikopter utiliti lebih tinggi daripada pesawat pejuang FA-50, yang dibeli dengan harga RM341 juta seunit termasuk penyelenggaraan.
“Adakah logik sebuah helikopter utiliti lebih mahal daripada pesawat pejuang?” soalnya. – HARAKAHDAILY 3/3/2025
Ulasan
Catat Ulasan