
Hentikan normalisasi biar anak memandu, menunggang tanpa lesen
Mac 11, 2025 @ 8:39am

TIMBUL kebimbangan dan keresahan mendalam jika melihat fenomena kes kemalangan jalan raya sejak kebelakangan kerana video mengenai nahas yang berlaku, kini berlambak di media sosial untuk disaksikan.
Kesedaran tinggi pemilik kenderaan memasang kamera papan pemuka pada kenderaan membolehkan orang ramai melihat sendiri rakaman video detik kemalangan berlaku.
Buka sahaja dan rayau di mana-mana akaun media sosial kita hari ini, pasti ada perkongsian video kemalangan jalan raya dapat disaksikan.
Setidak-tidaknya, rakaman video kemalangan ini mampu menjentik kesedaran pada hati kita untuk sentiasa berhati-hati, berwaspada dan berhemah ketika memandu kenderaan atau menunggang motosikal di jalan raya.
Sebagai pengguna jalan raya, kita patut mengambil iktibar dan pengajaran daripada banyak kes nahas berlaku saban hari. Jika diperhatikan kebanyakan nahas kenderaan dikongsikan di media sosial, hampir kebanyakannya disebabkan kecuaian, sengaja melanggar peraturan lalu lintas, terutama di lampu isyarat merah, melulu ketika mengendali kenderaan, selain tiada empati atau timbang rasa.
Kebelakangan ini pula, berlaku kes remaja memandu kereta atau menunggang motosikal tanpa lesen sehingga menyebabkan nahas, seolah-olah menjadi satu normalisasi dan bukan satu kesalahan besar.
TIMBUL kebimbangan dan keresahan mendalam jika melihat fenomena kes kemalangan jalan raya sejak kebelakangan kerana video mengenai nahas yang berlaku, kini berlambak di media sosial untuk disaksikan. - Foto hiasan
Fenomena ini amat membimbangkan kerana ia membawa implikasi besar terhadap keselamatan jalan raya serta perkembangan mental dan fizikal anak itu sendiri.
Pertama, memandu atau menunggang motosikal tanpa lesen adalah kesalahan undang-undang jelas. Jika pemilik kenderaan memiliki lesen memandu pun boleh terbabit nahas, apatah lagi anak muda dan remaja yang tidak memiliki lesen.
Mereka bukan hanya melanggar undang-undang, tetapi berisiko tinggi terbabit kemalangan. Anak yang belum cukup matang dari segi pemikiran dan kemampuan fizikal, tidak mampu membuat keputusan tepat ketika berhadapan dengan situasi kecemasan di jalan raya.
Tidak dinafikan, masalah normalisasi membiarkan anak memandu atau menunggang motosikal tanpa lesen ini dipengaruhi faktor persekitaran keluarga. Tindakan mereka membenarkan anak memandu atau menunggang motosikal tanpa lesen, memberi mesej salah kepada anak. Ini boleh menyebabkan mereka berasa perbuatan mereka sebagai 'perkara biasa' dan tidak berbahaya.
Selain itu, tindakan membiarkan anak memandu kenderaan atau menunggang motosikal tanpa lesen memberi kesan negatif kepada perkembangan sosial, mental dan psikologi mereka untuk lebih bertanggungjawab sebagai pengendali kenderaan.
Justeru, semua pihak terutama keluarga, masyarakat dan pihak berkuasa harus bekerjasama menghentikan normalisasi remaja memandu atau menunggang motosikal tanpa lesen.
Ibu bapa harus menjadi contoh yang baik dengan mematuhi undang-undang dan mengajar nilai keselamatan kepada anak mereka. Pihak berkuasa khasnya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu lebih proaktif menguatkuasakan undang-undang serta memberi kesedaran risiko dihadapi mereka memandu tanpa lesen.
Ulasan
Catat Ulasan