Isu Kg Sungai Baru: Pemaju rakus hapus kampung tradisi
March 24, 2025
Penduduk Kampung Sungai Baru membawa plakad sebagai tanda protes dan merayu agar kerajaan tidak merampas tanah yang telah mereka diami sejak sekian lama. (FOTO: UstazahNuridahMohdSalleh)
KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Malaysia menyatakan sokongan penuh terhadap penduduk Kampung Sungai Baru yang berdepan dengan isu pengambilan tanah dan pembangunan semula.
Ketuanya, Ustazah Nuridah Mohd Salleh menegaskan bahawa hak penduduk perlu dipertahankan dan keadilan mesti ditegakkan bagi mengelakkan mereka terus ditindas oleh pihak berkepentingan.
“Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT, semalam kita telah berhimpun di pekarangan flat Kampung Sungai Baru untuk melaksanakan solat hajat.
“Selain itu, memohon pertolongan dan perlindungan daripada-Nya dalam menghadapi ketidakadilan yang menimpa penduduk di sini,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, tadi.
Beliau turut menyeru agar umat Islam memanfaatkan keberkatan 10 malam terakhir Ramadan dengan bermunajat kepada Allah SWT supaya hak penduduk Kampung Sungai Baru terus terpelihara.
“Sempena 10 malam terakhir Ramadan yang penuh keberkatan ini, kita memohon kepada Allah SWT agar mendengar rintihan dan doa kita semua. Semoga penduduk Kampung Sungai Baru diberikan kekuatan, keadilan ditegakkan dan hak mereka terpelihara,” katanya.
Beliau turut meluahkan kebimbangan terhadap kesan kapitalisme dalam pembangunan yang dikatakan lebih menguntungkan pihak berkepentingan berbanding rakyat marhaen.
“Ya Allah, lindungilah bumi ini daripada ketamakan kapitalis yang zalim dan selamatkanlah nasib umat Islam di tanah air ini,” ujarnya.
Selain itu katanya, solat hajat dan munajat yang diadakan bersama penduduk merupakan harapan terakhir mereka agar Allah membuka jalan keluar dan memberikan kekuatan kepada penduduk untuk mempertahankan hak mereka.
“Semoga kezaliman ini dihentikan dan keputusan yang lebih adil dapat dicapai. Kita memohon agar segala usaha yang telah dilakukan oleh semua pihak yang membantah pelaksanaan ini diberkati dan dipermudahkan oleh Allah SWT,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/3/2025
Ulasan
Catat Ulasan