‘Isu sensitif, semua mahu jadi hero’


‘Isu sensitif, semua mahu jadi hero’
Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM dan OMAR ZIN
16 Mac 2025, 7:34 am

MUKADIMAH
BEBERAPA insiden yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama kebekalangan ini meningkatkan suhu ketidakharmonian dalam kalangan rakyat sehingga ada pihak cuba menangguk di air keruh dengan memainkan sentimen itu demi kepentingan peribadi.

Keharmonian yang dikecapi antara masyarakat berbilang kaum cuba diganggu-gugat yang mungkin mencetuskan perbalahan jika tidak disekat sebelum merebak.

Dalam menangani isu ini, Kementerian Perpaduan Negara bertindak untuk menangani dengan mengambil tindakan preventif di peringkat akar umbi dan sebagai mediasi agar dua puak berbalah dapat diselesaikan dengan mohon maaf, berjabat tangan dan boleh jadi sahabat.

“Saya tidak akan benarkan episod 13 Mei kembali berlaku,” tegas Menteri Perpaduan Negara, DATUK AARON AGO DAGANG ketika wawancara bersama wartawan, MAISARAH SHEIKH RAHIM, OMAR ZIN bersama jurufoto, MOHD FAISOL MUSTAFA serta juruvideo, MUHAMMAD FARIS MD IDERIS, di pejabat beliau, di Putrajaya, baru-baru ini.

MINGGUAN MALAYSIA: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menjadi tumpuan sekarang ini, bagaimana usaha untuk menangani isu-isu sensitif yang sedang berlaku ketika ini?
AARON AGO DAGANG: Apabila ada isu-isu berkenaan dengan salah faham antara kaum atau agama, ada yang mengharapkan ataupun persepsinya adalah supaya kita dapat tangani masalah itu dengan cepat dan diselesaikan oleh kita. Kita ada mekanisme untuk menyelesaikan isu perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Kita ada sistem e-sepakat, pegawai perpaduan akan buat laporan, lepas itu kita akan selesaikan dengan kerjasama agensi lain melalui Jawatankuasa Pengurusan Isu Perpaduan.

Terdapat 571 mediator komuniti yang bantu menyelesaikan konflik di peringkat akar umbi. Kes yang baru jadi di Sepang berkaitan kes perkauman oleh penjual jagung baru-baru ini, kita proaktif.

Anggota Kawasan Rukun Tetangga (KRT) kita pergi jumpa dan bawa untuk berbincang dan akhirnya mohon maaf. Habis (selesai), sangat pantas. Kita libatkan polis dalam perbincangan supaya kalau masalah itu dihebohkan lagi, polis akan bantu kita.

Adakah KPN boleh mengambil tindakan kepada mereka yang cuba mencetuskan isu perpaduan?
Tindakan kita adalah tindakan reformatif. Siapa yang salah faham, siapa yang salah cakap, kita akan selesaikan dengan permohonan maaf supaya masalah tidak berterusan.

Kita tidak ada tindakan punitif, yang ada punitif itu di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) di bawah Kementerian Komunikasi. Mereka sahaja yang ada akta seperti Kanun Keseksaan, Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan serta sebagainya. Tetapi kita tidak ada.

Soal perpaduan ini sama macam agama, kita tidak boleh memaksa. Kita kena sentiasa galakkan dan terapkan semangat perpaduan sebab itu kita gunakan konsep ‘Faham, Hormat dan Terima’ yang harus diterapkan bermula kecil lagi. Kita perlu fahami dan hormati satu sama lain dan ini asas penubuhan Malaysia dari dulu.

Selepas insiden 13 Mei, wujudlah Rukun Negara iaitu asas perpaduan negara. Sebab itu, masa pertama kali saya masuk kementerian ini, saya berikan tumpuan untuk gerakkan lagi penghayatan Rukun Negara. Pada 2023, kita sudah mendapat kelulusan daripada Jemaah Menteri untuk Rukun Negara dilafaz di sekolah-sekolah untuk dihayati, dan kini sampai ke Parlimen Malaysia.

Kita semarakkan ikrar Rukun Negara untuk difahami dan dihayati, untuk beri kesedaran kepada umum bahawa Rukun Negara adalah panduan untuk kita bersama-sama kita menjadi masyarakat yang aman dan damai harmoni.

Apa inisiatif KPN dalam memupuk perpaduan?
Di peringkat akar umbi ada kira-kira 8,529 kawasan rukun tetangga di seluruh negara. Tentunya komuniti ini menjadi jentera utama kita dan semua aktiviti menjuruskan kepada perpaduan dan keharmonian adalah melalui rukun tetangga.

Tahun lepas, Kementerian menganjurkan 730 program berteraskan kluster Semarak Perpaduan, Semarak Kenegaraan dan Komuniti Rahmah. Kalau KRT sahaja lebih 59,000 aktiviti dilaksanakan.

Sekarang kita sudah banyak libatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ada kumpulan yang dinamakan Friends of Unity misalnya yang sama-sama bekerjasama untuk membawa kepada kefahaman dan rasa hormat dalam kalangan rakyat dapat disatukan dalam suasana yang aman dan damai.

Kalau dulu kita selalu dengar perpaduan dalam kepelbagaian. Kita hormati kepelbagaian, kita adalah kumpulan yang pelbagai, kita adalah negara progresif yang pelbagai tapi tahun ini kita perlu lebih proaktif dengan memilih tema harmoni dalam kepelbagaian.

Pelbagai program dan inisiatif diperbanyakkan lagi yang menjurus kepada keharmonian agama. Antara fokus utama di bawah ikhtiar Harmoni Madani adalah Jejak Harmoni, Dialog Harmoni, Dokumentari Harmoni, Sambutan Hari Toleransi dan sebagainya.

Tahun ini juga kita beri fokus utama kepada ekosistem perpaduan. Ekosistem ialah satu persekitaran, kita mahu wujudkan tapak integrasi yang semua orang boleh bersama-sama dan untuk itu pelbagai program dan aktiviti diadakan dan semua lapisan masyarakat dijemput untuk bersama-sama dalam semua program.

Salah satu program signature kita adalah Sambutan Minggu Perpaduan. Kita adakan di setiap negeri dengan mengadakan program untuk masyarakat datang danterlibat dalam aktiviti. Kita ada rumah KAMI, perkampungan etnik, Unity Run serta malam kebudayaan, Jualan Rahmah dan macam-macam lagi.

Tahun ini, kita akan tambah 11 program dan sambutan peringkat negeri akan bermula di Melaka pada April ini serta berakhir di Pulau Pinang pada Julai sebagai lokasi penganjuran peringkat kebangsaan.

Adakah perlu gubal undang-undang baharu untuk tangani isu-isu sensitif?
Kalau kita melihat akta-akta yang ingin diilaksanakan seperti Akta Diskriminasi, Akta Harmoni, Suruhanjaya Harmoni dan sebagainya. Selepas melalui pelbagai perbincangan dalam kerajaan terdahulu sejak 2018, semua akta ini akhirnya tidak jadi sebab sudah terkandung dalam akta sedia ada.

Akta Hasutan lebih cukup, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, Kanun Keseksaan. Terlalu banyak seksyen sehingga 10 seksyen yang berkaitan 3R (raja, kaum dan agama).

Semua sudah ada. Sebab itu, akta baharu yang ingin digubal tidak perlu lagi sebab sudah termasuk dalam akta sedia ada. Yang kurangnya sekarang adalah penguatkuasaan, sebab itu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim minta semua agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan MCMC untuk bertindak pantas dalam menangani isu 3R.

Begitu juga cadangan penubuhan suruhanjaya. Apabila dibahaskan, apakah tujuan dan tugas di bawah suruhanjaya? Akhirnya semua tugas atau fungsi yang ingin diadakan di bawah suruhanjaya sudah terkandung dalam kementerian. Kita ada Jabatan Perpaduan, Jawatankuasa Harmoni, Majlis Penasihat Perpaduan Negara, Jawatankuasa Pengurusan Isu Perpaduan dan macam-macam lagi.

Antara cadangan dahulu dalam fungsi suruhanjaya adalah mediasi, itu pun sudah ada dan dilaksanakan di bawah kepimpinan saya. Kita ada 571 mediator komuniti, lapan pusat mediasi dan tahun ini kita tubuh lagi lima buah pusat mediasi. Tahun lepas sebanyak 215 kes mediasi telah diselesaikan oleh mediator kita. Ini satu pencapaian besar untuk kita.

Semua ini diselesaikan sebelum ke peringkat undang-undang.
Kita juga baru mewujudkan Dashboard Analitik Perpaduan yang akan memaparkan kawasan hotspot untuk pelaksanaan program intervensi. Ini amat penting untuk kita berikan fokus.

Bagaimana tahap keberkesanan rukun tetangga dalam memupuk perpaduan?
Asal usul rukun tetangga adalah untuk keselamatan penduduk setempat selepas insiden 13 Mei. Tugas utamanya adalah untuk menjaga keselamatan. Kini sudah ada 8,529 KRT di mana tahun lepas ditubuhkan sebanyak 91 KRT atas permintaan.

Pelbagai kelompok ada di bawah KRT, tunas muda, jiran muda, jiran wanita dan warga emas. KRT ini sangat relevan bagi saya. Ia adalah asas kepada perpaduan kita di peringkat komuniti. Kalau ada salah faham antara masyarakat, anggota rukun tetangga akan memainkan peranan. Sekarang kita sudah mempunyai 571 mediator di seluruh negara.

Mediator ini adalah perkhidmatan percuma yang mana kalau ada masalah antara jiran, kalau jawatankuasa tidak dapat selesaikan, mediator akan datang selesaikan. Mereka ini adalah dalam kalangan peguam, pegawai bank, pegawai-pegawai tinggi kerajaan dan mereka bukan dari Kementerian Perpaduan, tetapi orang luar.

Mereka ini berdaftar dan bertauliah di bawah kementerian dan mereka jalankan tugas. Sekarang ini bukan diguna pakai oleh rukun tetangga sahaja tetapi di semua tempat termasuk majlis bandaraya yang ada masalah akan guna khidmat mediator kita contohnya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Ini kerana paling banyak masalah adalah di pangsapuri. Orang bergaduh sebab isu sampah, buat bising, isu anjing liar, mediator kita uruskan dengan kerjasama polis dan diselesaikan supaya ia tidak sampai ke mahkamah.

Kalau sampai ke mahkamah ia melibatkan kos dan banyak masalah. Jadi, mediator selesaikan dengan mencapai persefahaman dan sebab itu kita akan tambahkan lagi mediator kepada 1,000 orang.

Kalau kita dapat selesaikan dengan mohon maaf di peringkat akar umbi, itu yang terbaik. Kalau boleh berjabat tangan, boleh jadi sahabat, ini yang kita mahu.

Adakah penguatkuasaan tidak cukup tegas dan pantas dalam isu-isu sensitif?
Tidak boleh juga kata begitu. Mereka ambil tindakan, cuma pihak berkuasa mahukan laporan polis walaupun dia tahu masalah sudah jadi. Saya juga harap PDRM boleh pantas dalam hal ini.

Ambil tindakan sewajarnya ikut lunas undang-undang. Ini penting supaya menjadi pengajaran kepada semua supaya jangan sentuh isu 3R.

Jadi, yang paling pantas sepatutnya perlu bertindak adalah MCMC, pantau 24 jam. Kalau sudah berada di luar kawalan, tutup terus akaun media sosial itu.

Tetapi kita pun ada jentera sendiri, kita sangat pantas. Kalau ada masalah, KRT atau mediator kita pergi jumpa mereka, bincang dan mohon maaf. Jangan teruskan lagi. Ini peranan kita.

Dengan isu-isu sensitif baru-baru ini, adakah akan berulang kembali episod 13 Mei?
Kita harap tidak. Saya tidak akan biarkan ia menjurus ke situ. Saya tegas dalam hal ini. No way i will allow this. Saya rasa rakyat lebih berpendidikan dan bertamadun ketika ini, rakyat melihat keperluan kepada keharmonian dan perpaduan dalam kehidupan mereka setiap hari.

Ia sesuatu yang buruk jika kita kembali kepada insiden 13 Mei. Semua orang tahu ia bukan perkara yang baik untuk negara. Sudah tentu kita tidak mahu ia berlaku. Ketika ini, ia masih dalam keadaan terkawal. Perpaduan ini tanggungjawab semua pihak, tidak kiralah kerajaan, swasta, ahli politik, pelajar semua lah kena mainkan peranan.

Adakah tahap perpaduan negara bertambah baik?
Dapatan Indeks Perpaduan Nasional 2022 mengatakan kita berada dalam keadaan terkawal dan sederhana. Ada empat konstruk utama yang diberikan fokus dalam kajian indeks ini. Antaranya soal pembangunan dan sistem penyampaian, ini yang rakyat tidak gembira. Kalau tengok maklum balas dari orang Sabah dan Sarawak, dari segi pentadbiran dan pembangunan, sangat rendah.

Jadi, perpaduan bukan soal agama, kaum dan budaya semata-mata, tidak. Perpaduan datang dari semua perkara, sudut dan bidang. Dari segi pendidikan, pembangunan dan persekitaran.

Semuanya melibatkan perpaduan. Sebab itu, saya perkenalkan konsep Harmoni Dalam Kepelbagaian untuk mencipta negara bangsa yang progresif. Tahun ini, Kementerian ini akan anjurkan satu persidangan Negara Bangsa Progresif, di mana pelbagai perkara akan dikupas dan dibincangkan.

Perpaduan sebenarnya sangat kompleks. Ia bukan hanya isu agama dan pemahaman budaya, tidak. Sebahagian besar indeks ini adalah disebabkan sistem penyampaian dan pembangunan negara, ia penyumbang terbesar dalam indeks ini. Yang lain adalah etos bangsa dan hubungan rentas etnik semuanya.

Yang rakyat tidak senang hati dan tidak gembira dengan kadar pembangunan dan peruntukan, itu yang jadi isu besar. Itulah perpaduan. Soal agama, kaum dan sebagainya itu adalah isu harmoni.

Sebab itu, kita juga fokus inisiatif harmoni, usaha dan program yang perlu dilaksanakan untuk mengeratkan hubungan antara penganut agama. Ini sangat penting. Saya akan pastikan program Jejak Harmoni dan Dialog Harmoni akan diperluaskan ke semua negeri, jadi saya harap kerajaan Negeri sokong lah usaha ini.

Saya juga telah minta Kementerian berikan fokus dalam tiga aspek pelaksanaan program, pengurusan isu perpaduan dan intervensi/kesedaran. Kementerian juga telah gerakkan Kempen Cakap Baik-Baik bagi memupuk budaya budi bahasa dalam kalangan rakyat

Selain itu, soal anak muda saya berikan fokus juga. Modul pendidikan Rukun Negara yang dilaksanakan di Tabika Perpaduan akan diluaskan kepada tadika KEMAS, tadika swasta dan prasekolah KPM.

Pelbagai program akan dilaksanakan Simposium Pendidikan Rukun Negara, Program Kenali Kita, Kem Perpaduan Anak Malaysia, Program Silang Budaya, Jalinan Integrasi Mahasiswa, Konvensyen Sekretariat Rukun Negara, Jelajah Belia Rukun Negara, Ejen Perpaduan, Program Bermalam di Muzium, Arkib @ Sekolah dan Misi Sukarelawan Siswa.

Saya pasti orang muda boleh jadi ejen penggerak perpaduan negara, yang boleh sebarkan mesej-mesej perpaduan sehingga mampu mencorakkan masa depan Malaysia yang lebih harmoni.

Adakah isu-isu masalah perpaduan banyak dicetuskan melalui media sosial?
Apabila kita ada mesyuarat Kabinet, saya tegaskan kepada MCMC di bawah Kementerian Komunikasi supaya mereka pantau 24 jam. Kalau ada isu sensitif, mereka perlu bertindak segera.

Jangan biarkan tular di media sosial. Sejam atau dua jam sudah beribu feedback. Kalau tidak, ia akan merebak. Orang awam ada yang tidak tahu, dia tidak faham bila melibatkan isu sensitif, semua orang mahu turut serta.

Ada yang mahu jadi hero juga. Ada yang ingin mempertahankan isu agama, bangsa dan sebagainya. Kalau kita tidak bertindak awal, ia akan merebak. Tugas atau penglibatan MCMC ini amat penting, yang bertanggungjawab dalam membendung perkara-perkara sensitif disebarluaskan.

Macam kes penyampai radio baru-baru ini. Dia ambil video, kenapa disebarkan? Kenapa muat naik di media sosial? Mungkin untuk tontonan mereka sahaja, buat untuk kawan-kawan. Bila dimuat naik, ia jadi isu sensitif, ini kesilapan besar.

Kadang-kadang, antara kawan kita mahu berjenaka sahaja, tapi jangan sampai ia jadi tular. Bila jadi tular, ia jadi masalah besar, orang akan melihat ia sebagai isu sensitif.

Bila wakil pengurusan tertinggi radio itu datang berjumpa saya di Parlimen, saya beritahu dia kesilapannya adalah mereka tidak sensitif. Mereka ambil gambar dan video untuk tontonan mereka, untuk main-main dan ia jadi tular. Itu kesilapan besar.

Mereka faham dan mereka mohon maaf ke atas perkara ini tapi saya kata kerosakan telah dilakukan dan tindakan perlu diambil dan MCMC ambil tindakan.

Sebab itu, dalam Indeks Perpaduan Nasional, salah satu isu defisit sosial adalah media, maaf cakap. Itu masalah besar bagi kita, media sosial disalah guna, inilah jadinya. Harap orang ramai faham.

Ini masalah yang dihadapi kita, tapi kita cuba hentikan perkara seperti ini sebab itu kita nasihatkan untuk sama-sama menangani masalah-masalah yang sensitif ini supaya kita dapat hidup dengan harmoni di negara ini. – MINGGUAN.

Ulasan