
Jaga perlakuan, jaga pertuturan!
11 Mac 2025 08:40am
Masa membaca: 3 minit
Video kontroversi telah diturunkan dari platform media sosial Era FM didakwa mempersenda tarian kavadi Hindu, upacara suci dilakukan ketika Thaipusam.
Malaysia dikenali sebagai sebuah negara majmuk yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan budaya. Kepelbagaian tersebut menjadikan negara ini lebih unik dan kaya dengan tradisi serta adat resam berbeza meskipun berlainan latar belakang.
Keunikan masyarakat majmuk ini bukan sahaja mencerminkan perpaduan yang kukuh, malah menjadi aset penting dalam pembangunan negara. Namun, keakraban berbilang bangsa itu nampaknya telah ‘dimusnahkan’ oleh rakyat sendiri dengan jenaka, kononnya menghiburkan tetapi sebenarnya menyinggung perasaan pihak lain.
Baru-baru ini, tiga penyampai radio telah mencetuskan kontroversi apabila mempersenda tarian kavadi Hindu, upacara suci dilakukan ketika Thaipusam kepada Dewa Murugan.
Video yang sudah diturunkan di platform media sosial stesen itu memaparkan seorang penyampai meniru tarian kavadi sambil penyampai lain menyebut ‘Vel Vel’ disusuli gelak tawa. Klip video itu mengundang reaksi, kritikan dan kecaman yang meluas daripada masyarakat kerana ia penghinaan kepada tradisi Hindu.
Penyampai radio atau mana-mana personaliti media mempunyai pengaruh besar terhadap masyarakat kerana mereka bukan sekadar menghiburkan tetapi perlu mendidik, sekali gus menyampaikan maklumat kepada pendengar.
Kes tersebut jelas menunjukkan keterlanjuran dalam berkata-kata boleh membawa padah. Mengetahui kesalahan itu, tiga penyampai radio berkenaan telah tampil membuat permohonan maaf atas penghasilan video tersebut di media sosial mereka.
Malah, mereka juga telah digantung tugas sehingga diberitahu kelak, sementara siasatan dalaman dijalankan terhadap dakwaan tersebut. Tindakan mereka turut mendapat perhatian Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil yang telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) untuk menjalankan siasatan terperinci.
Sementara itu, Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang turut memberi amaran keras kepada semua pihak agar tidak mengulangi perbuatan menyebarkan kenyataan berbentuk provokasi, penghinaan dan mempersendakan agama di platform media sosial.
Beliau berkata, kementeriannya akan terus melaksanakan Kempen Cakap Baik-Baik serta menerapkan prinsip integrasi nasional Faham, Hormat dan Terima melalui pelbagai program bagi mendidik rakyat Malaysia supaya menghormati agama serta budaya penganut lain.
Aaron juga mengingatkan rakyat yang terlibat menyebarkan kenyataan provokasi dan penghinaan terhadap agama lain supaya memikirkan kesan buruk perbuatan mereka terhadap keharmonian masyarakat di negara ini.Dalam dunia digital kini, setiap kesalahan mudah menjadi tular dan mendapat perhatian ramai kerana rakyat semakin peka terhadap isu-isu yang menyentuh sensitiviti agama serta kaum.
Penting bagi setiap individu terutama mereka dalam industri penyiaran dan media untuk lebih berhati-hati. Walaupun memohon maaf adalah langkah yang baik, namun ia sebenarnya masih tidak mencukupi bagi merawat ‘hati yang telah disakiti’.
Sebagai rakyat Malaysia, insiden tersebut perlu dijadikan pengajaran. Setiap individu harus lebih bertanggungjawab terhadap kata-kata atau perbuatan, lebih-lebih lagi dalam media sosial.
Sebelum berkongsi atau menulis sesuatu di media sosial, fikirkan kesannya terhadap orang lain. Adakah kandungan tersebut boleh menyinggung perasaan atau menjejaskan keharmonian masyarakat?
Kesedaran dan pendidikan berterusan perlu dititikberatkan bagi memastikan masyarakat lebih peka serta memahami batasan dalam masyarakat. Ia adalah kunci utama dalam mengekalkan perpaduan dan keharmonian negara.
Toleransi bukan sekadar sikap bertolak ansur tetapi juga menghargai dan memahami perbezaan. Justeru, jadilah masyarakat yang peka dan prihatin terhadap sensitiviti agama dan budaya di negara ini.
Qurratul Aina Quddus ialah wartawan Sinar Bestari
Ulasan
Catat Ulasan