Jangan biar beras jadi seperti minyak masak peket

Jangan biar beras jadi seperti minyak masak peket
Oleh Badrul Hafizan Bin Mat Isa
6 Mac 2025, 7:11 am

Sejak 1 Mac lalu dikatakan sebanyak 24 juta kampit beras putih tempatan bersubsidi bagi pek 10 kilogram yang dijual pada harga RM26 berada dalam pasaran.

Dimaklumkan oleh pihak Kawal Selia Padi dan Beras, kesemua kampit itu adalah untuk 400,000 keluarga miskin dengan had dua pek bagi setiap keluarga tersebut.

Selepas hampir seminggu, apa yang berlaku? Hasil tinjauan wartawan akhbar ini di beberapa buah negeri, bekalan beras putih tempatan tersebut masih belum ada di pasaran sama ada di pasar raya mahupun di kedai runcit.

Bagi negeri-negeri yang sudah mula menerimanya pula, hanya dalam jumlah yang terhad. Namun perkara utama yang boleh dipersoal, adakah ia dijual kepada golongan yang disasarkan?

Di Perlis hasil pemerhatian, bekalan beras tempatan ini dijual tidak kira siapa walaupun mengikut had yang ditetapkan.

Beras tempatan ini dikatakan turut dibeli oleh golo­ngan peniaga-peniaga makanan, jadi apa yang tinggal buat keluarga yang rendah pendapatan mereka?


Sehingga kini, tiada mekanisme jelas untuk memastikan agar beras-beras tempatan ini sampai kepada mereka yang berhak.

Mekanisme jualan beras tempatan ini justeru perlu ditetapkan segera. Jika dibiarkan berlarutan, ia hanya mengulang semula apa yang berlaku dalam isu minyak masak peket bersubsidi ketika ini.

Ia membuka ruang kepada isu ketirisan dan penyelewengan. Seperti minyak masak peket, bekalan beras tempatan ini boleh dimanupulasi oleh peniaga, bekalan disorok dan dijual kepada bukan yang layak seperti kepada warga asing.

Langkah pemantauan dan penguatkuasaan tegas untuk mengelakkan perkara seumpamanya daripada berlaku pasti menjadi jawapan pihak bertanggungjawab dalam hal ini.

Tetapi itu bukan jalan penyelesaian sedangkan isu penyelewengan minyak masak peket bersubsidi juga berterusan dilaporkan.

Sehingga kini, minyak masak peket masih sukar didapati di pasaran. Perkara yang sama boleh berlaku dalam isu beras tempatan ini walaupun sememangnya ia sudah berlaku pun, hilang daripada radar, hilang daripada pandangan mata kita semua.

Berbalik dalam soal mahu memastikan hanya yang layak sahaja dapat menerima manfaat, ada cadangan yang menyarankan agar kaedah pemberian subsidi kepada barangan kawalan termasuk beras ini beralih kepada pendekatan lebih berkesan iaitu menerusi bantuan tunai bersasar.

Pendekatan ini dijamin sampai terus kepada golongan memerlukan. Menerusi bantuan tunai, pengguna dalam kalangan kurang berkemampuan ini bebas untuk memi­lih produk makanan yang diperlukan mereka.

Saranan ini wajar untuk diperhalusi kerajaan mengambil kira keperluan setiap orang adalah berbeza dan kadangkala selera juga berubah-ubah.

Langkah ini juga sebenarnya dapat mengurangkan tekanan kerajaan dan kementerian terlibat untuk memulih dan memastikan bekalan beras tempatan untuk sentiasa berada dalam pasaran. – UTUSAN

Ulasan