Juang menangkan PAS untuk jamin Islam berdaulat!


Juang menangkan PAS untuk jamin Islam berdaulat!

PAS berusaha perolehi kemenangan di Perak dan Pahang pula
March 19, 2025

ALOR SETAR: Islam mampu menang apabila susunan strategi yang baik dan teratur sebagaimana dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW sewaktu perang Badar, kata Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Menurut Ahli Parlimen Marang itu, kemenangan pada perang Badar menjadikan Islam selamat dipertahankan dan berkembang sehingga ke hari ini.

“Seorang ulama terkenal di India, Abdul Hasan Ali Al-Nadawi, pernah menyeru umat Islam agar bersungguh mempertahankan cabaran baru iaitu cabaran pemikiran penjajah yang menjajah negara orang Islam.

“Penjajah ini bukan saja mereka menjajah tanah air umat Islam tetapi menjajah pemikiran orang Islam. Memisahkan agama, memisahkan politik daripada agama hingga terdapat sebahagian orang Islam yang tak mahu politik kerana kata mereka politik ini bukan Islam,” kata beliau.

Akhirnya ujar beliau, kefahaman itu telah memberi kesan sehingga ada yang mengecuali diri daripada mengundi atau tidak keluar mengundi pada pilihan raya atas alasan ia bukan ajaran Islam.

Perkara itu disampaikan beliau menerusi rakaman video, sempena Majlis Nuzul Al-Quran PAS Kedah, di Kompleks PAS, Kota Sarang Semut, di sini malam tadi.

“Nak ibadat saja, Tak pertahankan Islam yang berdaulat untuk memerintah. Ikutlah siapa yang memerintah. Asal kita boleh sembahyang boleh puasa, boleh pergi haji, sudahlah, memerintah serahkan orang lain.

“Jangan ambil ‘hok’ pemerintahan politik begini kerana ini satu ajaran sesat yang dibawa oleh penjajah dinamakan sekularisme. Meninggalkan kuasa pemerintahan.

“Padahal Nabi Muhammad SAW sanggup berhijrah dari Mekah ke Madinah dan mempertahankan kerajaan Islam di Madinah,” tambah beliau lagi.

Mengulas lanjut jelasnya, pada perang Badar, orang Islam berjihad serta berperang dengan pelbagai cara demi mempertahankan Kerajaan Islam, tetapi amat malang, apabila terdapat orang Islam hari ni yang tidak bersedia mendirikan Kerajaan Islam.

“Kenyang perut boleh makan, boleh tidur, boleh sembahyang dan boleh buat apa saja. Bila orang lain berkuasa memerintah, mereka boleh larang umat Islam bersembahyang. Boleh rombak masjid, boleh buat segala-galanya.

“Itu mereka tak sedar, bila kuasa hilang, Islam pun akan dihilangkan. Ini bahaya. Maka kuasa Islam yang memerintah mesti pertahankan,” tegas beliau dengan penuh kesungguhan.

Imam Ghazali jelasnya pernah berkata, agama itu asas, kuasa pemerintahan adalah penjaga serta pengawas dan sekiranya tidak ada asas maka ia boleh runtuh.

Katanya juga, kalau tidak ada agama Islam, kehidupan manusia akan runtuh di dunia dan akhirat, malah sekiranya Islam tiada kuasa memerintah, ajarannya akan hilang lepas dan hilang begitu saja.

“Islam mesti berkuasa. Ini kita disuruh sebut ‘Daulat Tuanku’ tapi tak ada kuasa. Islam tak ada kuasa. Mana daulat? Daulat ini makna kuasa pemerintahan.

“Ada orang kata asal boleh makan. Boleh tidur nyenyak. Bebas nak gi Makkah. Cukuplah. Tapi kita jadi bodoh. Jadi bingung. Meninggalkan kuasa Islam yang berdaulat,” tegasnya.

Oleh sebab itu maklumnya, para ulama menubuhkan PAS untuk mempertahankan Islam dan beberapa negeri berjaya ditadbir PAS selepas menang dalam pilihan raya sebelum ini.

“Kita menang Kelantan dan dapatpertahankan hari ini. Terengganu juga kita menang termasuk Kedah dan perlis, untuk pertahankan kuasa Islam. Walaupun terhad tak apa dah. Sekadar kuasa terhad dulu. Kita usaha lagi. Allah Taala pilih.

“Kepada kita, ini jalan yang damai, jalan yang mudah melalui pilihan raya. Bukan perang. Pergi mengundi untuk pilih siapa, mudah saja. Ada orang nak perang tapi bercakap saja. Bila kita nak jawab dia lari.

“Kalau ‘hok’ pilihan raya pun tak sanggup, hok pilihan raya pun lari, tak pertahankan Islam, macam mana nak lebih hebat lagi. Tak jawab dia,” bidasnya.

PAS katanya, akan berusaha untuk perolehi kemenangan di negeri lain seperti Perak dengan Pahang dan mempertahan kemenangan di empat negeri sebelum ini.

PAS tegas beliau akan terus berusaha dan berjuang sehingga Islam kembali berkuasa di mana Islam akan didaulatkan.

Kata Tuan Guru lagi, penjajah telah merampas pemerintahan negara sebelum ini dan walaupun penjajah sudah pulang dan lari meninggalkan negara namun masih ramai rakyat Malaysia yang berfikiran seperti penjajah.

Justeru katanya, usaha untuk memerdekakan fikiran agar kembali kepada Islam serta meletakkan Islam itu tinggi dalam memerintah serta mentadbir adalah untuk menyelamatkan umat manusia.

“Jangan takut tak boleh makan tak boleh minum, itu rezeki Allah yang beri. Ada yang takut lapar tak boleh makan dan tak boleh apa kalau ikut Islam.

“Ini yang dia lapar siapa yang beri rezeki pada kita? Allah SWT! Jadi ikutlah Islam, pertahankan agama-Nya,” tegasnya lagi.

Islam katanya, apabila menguasai dan mentadbir dunia, ia akan ditadbir dengan betul serta adil dan tidak zalim atau merosakkan manusia.

Oleh itu tegasnya lagi, sekiranya mahu selamatkan dunia dan diri maka kembali kepada Islam dengan melaksanakan hukum syariat-Nya. – HARAKAHDAILY 19/3/2025

Ulasan