
'Kami terperangkap di flat tanpa elektrik, bekalan makanan semakin terhad'
Oleh Mary Victoria Dass - Mac 21, 2025 @ 12:55am
Kawasan PPR Desa Mutiara dilanda banjir sejak pagi semalam. - Foto media sosial
JOHOR BAHRU: "Selain tiada bekalan elektrik, bekalan makanan kami juga semakin terhad selepas terperangkap di flat ini akibat banjir."
Demikian dikongsikan penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Mutiara, di sini, Mohd Amir Abdullah, 50, semalam.
Mohd Amir berkata, kawasan berkenaan mula dilanda banjir sejak 9 pagi semalam dengan air naik hingga paras dada.
Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan penduduk di aras bawah berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mutiara, di sini.

Bagaimanapun, katanya, kebanyakan penghuni di unit aras atas masih tinggal di kediaman masing-masing.
"Kami tidak berani meredah banjir, terutama keluarga yang ada anak kecil, kerana bimbang boleh membahayakan diri.
"Kami juga tidak dapat masak kerana bekalan elektrik di kawasan ini ditutup. Kebanyakan kami hanya berbuka puasa dengan memakan roti.
"Kami khuatir jika keadaan ini berterusan selama beberapa hari lagi," katanya.
Seorang lagi penghuni, Nasir Ahmad, 63, berkata penduduk percaya masalah banjir di kawasan itu berpunca daripada sistem saliran yang kurang strategik.
"Ini adalah Ramadan yang tidak dapat dilupakan bagi kami. Secara keseluruhan, terdapat 22 blok di flat ini dan hanya sebahagian penghuni berpindah ke PPS.
"Tempat di PPS juga terhad dan tidak mungkin boleh memuatkan 2,000 keluarga dari flat ini.
"Sekurang-kurang kami dibekalkan lilin dan sedikit bekalan makanan," katanya.
Penduduk, Norazlin Rashid, 30, berkata kebajikan penghuni yang terperangkap di situ juga harus diberikan perhatian, terutama warga emas.
Ulasan
Catat Ulasan