Kartel campur beras terima untung banyak mana?
March 11, 2025
Senator Hussin Ismail
KUALA LUMPUR: Senator Hussin Ismail meminta kerajaan memberikan pencerahan berhubung isu manipulasi beras yang dikatakan telah berlarutan selama dua tahun.
Ini, ujarnya mengakibatkan rakyat menanggung harga tinggi akibat percampuran beras tempatan dengan beras import.
Beliau mempersoalkan bagaimana perkara ini boleh berlaku dalam tempoh yang lama tanpa sebarang penyelesaian jelas, walaupun ia membabitkan kepentingan jutaan rakyat Malaysia.
“Saya mohon perkara ini diberi pencerahan. Jika tidak dapat dijelaskan hari ini, kerajaan perlu memberikan jawapan yang lebih jelas supaya rakyat tahu apa sebenarnya yang berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mencelah ucapan penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup di Dewan Negara, hari ini.
Menurutnya, rakyat berhak mengetahui sejauh mana penglibatan pihak tertentu dalam isu ini dan apakah langkah kerajaan untuk memastikan ketelusan dalam industri beras.
“Kenaikan harga beras yang dibuat secara penipuan akibat percampuran beras tempatan dan beras yang import kesannya rakyat bayar banyak mana.
“Kartel ini menerima untung banyak mana? Apa kesan dan tanggungjawab kerajaan terhadap perkara ini.
“Ini saya fikir tanggungjawab sosial kita selain daripada akta,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, meskipun kerajaan telah memperkenalkan inisiatif seperti Jualan Rahmah, langkah tersebut hanya bersifat sementara dan tidak menyelesaikan punca sebenar masalah.
“Mungkin kita ada jualan murah rahmah, tapi jualan itu hanya dijual di tempat-tempat lokasi terpilih sahaja,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/3/2025
Ulasan
Catat Ulasan