
Kekosongan besar Parlimen jejas kestabilan negara
March 24, 2025
KUALA LUMPUR: Negara berisiko berdepan krisis perwakilan yang boleh menjejaskan kestabilan politik dan pentadbiran jika tiada langkah penyelesaian yang efektif bagi menangani kekosongan besar dalam Parlimen.
Senator Hussin Ismail mempersoalkan apakah mekanisme yang tersedia sekiranya berlaku kehilangan mendadak dalam kalangan Ahli Parlimen sebelum pilihan raya seterusnya.
“Tetapi saya terfikir, kalaulah jumlah yang ada di Parlimen sekarang ini, separuhnya mati, siapa yang akan wakil di situ sehingga sebelum pindaan Perlembagaan?” katanya ketika mencelah ucapan perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2024) 2025 oleh Senator Datuk Wira Dr Mohd Hatta Md Ramli di Dewan Negara, di sini, hari ini.
Beliau berkata, menunggu pilihan raya dalam tempoh lima tahun bukanlah penyelesaian yang praktikal dan boleh menyebabkan ketidakstabilan dalam pentadbiran negara.
“Apakah cukup tunggu lima tahun akan datang sehingga jumlah separuh yang ada itu mati? Ini tidak boleh,” katanya.
Hussin turut memberi gambaran bahawa tanpa langkah proaktif, negara seolah-olah hanya akan membuat ‘satu syif baru’ setiap lima tahun, tanpa mekanisme jelas untuk mengisi kekosongan luar jangka. – HARAKAHDAILY 24/3/2025
Ulasan
Catat Ulasan