Keputusan sidang Dewan Rakyat dipengaruhi sentimen politik

Keputusan sidang Dewan Rakyat dipengaruhi sentimen politik
March 4, 2025

Share
Afnan Hamimi Taib Azamudden

KUALA LUMPUR: Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) mempertikaikan ketelusan kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim melaksanakan doktrin pengasingan kuasa.

Menurutnya, beberapa keputusan dibuat dalam sidang Dewan Rakyat dilihat dipengaruhi oleh sentimen politik termasuk perkataan adendum dan derhaka yang tidak boleh disebut dalam ucapan wakil rakyat.

Beliau berkata, sekiranya pengasingan kuasa antara legislatif, eksekutif dan judisiari dilaksanakan dengan baik, halangan tersebut tidak akan berlaku dalam persidangan Parlimen hari ini.

“Kita tahu ada perkataan-perkataan yang di luar tidak ada halangan untuk disebut, adendum, derhaka dalam dewan dihalang disebut, bagaimana proses pengasingan kuasa berlaku, tidak berlaku juga.

“Sepatutnya disebut boleh, sebab kita mengamalkan doktrin pengasingan kuasa, kalau salah maka diambil tindakan berdasarkan peraturan mesyuarat ini perkara yang menjadi kebimbangan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap membahas Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Ketua Pemuda PAS Malaysia itu turut menyentuh mengenai pelantikan Speaker dan Setiausaha Dewan Rakyat yang dibuat tanpa campur tangan dan pengaruh parti dan pimpinan politik.

“Adakah kita boleh mempercayai dia bebas daripada pengaruh parti politik, walaupun saya tidak bermaksud kerajaan hari ini atau kerajaan bila tetapi secara prinsip kita nak bebas pelantikan.

“Walaupun dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong tetapi yang mencadang adalah kerajaan, jadi apa jaminan Speaker atau timbalannya tidak diambil tindakan jika keputusan merugikan pihak kerajaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/3/2025

Ulasan