Kg Sg Baru patut dinilai RM3,000 sekaki persegi



Kg Sg Baru patut dinilai RM3,000 sekaki persegi
Tun M beri pandangan harga tanah
March 23, 2025


KUALA LUMPUR: Harga tanah di Kampung Sungai Baru, Kampung Baru, di sini yang terlibat dalam pembangunan semula perlu dinilai pada kadar RM3,000 bagi setiap kaki persegi atau sekurang-kurangnya RM32,000 bagi setiap meter persegi.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (Tun M) berkata, nilai itu penting bagi memastikan penduduk asal dapat kembali ke kawasan itu selepas pembangunan selesai dan tidak perlu berpindah ke luar bandar.

“Saya anggap RM3,000 adalah harga yang patut supaya penjual tanah dapat pulangan yang cukup dan tak perlu lari ke luar bandar. Mereka boleh kekal dalam tempat ini.

“Segala pembangunan yang dibuat mestilah pembangunan yang mampu dibeli penduduk di sini,” katanya ketika meninjau kawasan Kampung Sungai Baru di pekarangan flat, di sini hari ini.

Selain pemilikan, beliau juga menekankan kepentingan menyediakan peluang perniagaan kepada penduduk asal agar mereka dapat menjana pendapatan dalam kawasan yang dibangunkan.

“Pembangunan hendaklah juga meliputi kedai-kedai yang boleh disewa oleh mereka supaya dapat berniaga dan memperoleh pulangan lebih tinggi selain mampu tinggal di kawasan yang dibangunkan,” katanya.

Selain itu, Tun M turut menegaskan bahawa penduduk tidak menolak pembangunan, tetapi ia perlu dilakukan secara adil dengan menjaga hak penduduk asal dan menawarkan pampasan yang setimpal.

Beliau turut membandingkan nilai tanah di Bukit Bintang yang mencecah RM7,000 sekaki persegi, sedangkan pemilik tanah di Kampung Baru hanya ditawarkan harga lebih rendah.

“Penjual tanah dibayar harga murah dan mereka tak mampu nak kembali ke tempat ini kerana pembangunan yang dibuat berharga tinggi,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui tidak dapat mengambil tindakan langsung dalam isu ini dan hanya mampu bersuara untuk memastikan nasib orang Melayu terbela.

“Saya tak boleh lakukan apapun, saya boleh bercakap saja. Cakap pun (bila) silap, polis (akan) panggil… jadi tak boleh bercakap pasal bangsa. Tapi ini memang masalah bangsa (orang Melayu).

“Bangsa lain pun ada masalah tapi bilangan mereka tak ramai dan mereka boleh cari cara lain untuk tambah pendapatan,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/3/2025

Ulasan