KHIDMAT MALAYSIA TERUS BERBAKTI PADA AKHIR BULAN RAMADHAN.
1. Alhamdulillah, baru sahaja selesai mengadakan mesyuarat khas bersama ALP Khidmat Malaysia Negeri Johor secara atas talian. Kehadiran cukup memberangsangkan khususnya dengan kehadiran Penyelaras Khidmat Malaysia Kawasan-kawasan yang terlibat dengan bencana banjir.
2. Banjir pasa tahun ini berlaku di dalam bulan Ramadhan. Tidak seperti bencana banjir yang melanda negeri Johor pada tahun 2023, bencana berlaku ketika itu adalah pada awal bulan Ramadhan manakala kali ini ia berlaku pada 10 hari terakhir sebelum Syawal tiba.
3. Kali ini juga, banjir berlaku di sebahagian besar kawasan selatan negeri Johor yang mana daerah Johor Baharu adalah daerah yang paling terkesan dengan banjir sehingga semalam, dilaporkan bahawa jalanraya di bandaraya Johor Baharu turut lumpuh kerana kenderaan tidak dapat bergerak.
4. Walaupun ketika ini hujan telahpun berhenti di kebanyakan tempat namun begitu jumlah PPS masih lagi tinggi yang dibuka (97 buah) dengan melibatkan 12,500 orang mangsa banjir yang masih berada di PPS.
5. Saya memahami keadaan para petugas dan sukarelawan Khidmat Malaysia yang berada di Johor ketika ini, berhadapan dengan keadaan yang sedang berpuasa sudah tentulah menghadkan pergerakan dan membataskan khidmat yang dapat diberikan di lapangan.
6. Justeru Khidmat Malaysia melalui Bilik Gerakan Info Bencana (BGIB) dengan segera bermula malam ini akan menggerakan petugas dan sukarelawan Khidmat Malaysia dari seluruh negara untuk turun membantu negeri Johor. Antara fokus utama adalah untuk memberikan bantuan mencuci dan membersihkan premis kediaman yang terjejas dengan banjir.
7. Tahniah saya ucapkan kepada Khidmat Malaysia negeri Johor kerana telahpun memulakan usaha Ops Cuci sejak awal pagi tadi dan sehingga ke malam ini masih lagi berterusan. Ingatlah kepada janji Allah SWT kepada yang bersabar salam membuat kebajikan. Firman Allah SWT salam surah Az-Zumar ayat kesepuluh yang bermaksud;
"Katakanlah: 'Wahai hamba-hamba-Ku yang beriman, bertakwalah kepada Tuhanmu. Bagi orang yang berbuat baik di dunia ini ada balasan yang baik dan bumi Allah itu luas. Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang disempurnakan pahalanya tanpa batas.'"
8. Semoga Allah melipatkaligandakan amalan para petugas dan sukarelawan Khidmat Malaysia khususnya pada fasa 10 hari terakhir di dalam bukan Ramadhan yang mulia ini.
Sekian.
BERKHIDMAT DEMI KEMANUSIAAN...BERAMAL KERANA ALLAH
Ketua Pengarah Khidmat Malaysia
21 Mac 2025, 11.35 malam
Ulasan
Catat Ulasan