
Lebih 20 jam rekod keterangan Ismail Sabri, sambung lagi esok
19 Mac 2025 04:55pm
Masa membaca: 2 minit
Ismail Sabri melambai tangan ketika tiba kepada petugas media yang membuat liputan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada Rabu.
PUTRAJAYA - Lebih 20 jam proses merekod keterangan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diambil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, yang memasuki hari keempat, pada Rabu, berhubung kes rasuah dan pengubahan wang haram.
Pada 13 Mac, Ahli Parlimen Bera itu hadir kali pertama untuk dirakam keterangan selama lima jam.
Keterangan beliau disambung pada keesokan hari dan mengambil masa kira-kira enam jam yang melalui dua sesi pada waktu pagi dan petang.
Perdana Menteri kesembilan itu kemudian hadir semula pada 17 Mac untuk proses merakam keterangan selama enam jam sebelum disambung pada hari keempat iaitu pada Rabu.

Kenderaan membawa Ismail Sabri beredar dari Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada jam 4.35 petang, pada Rabu.
Beliau sebelum itu hadir pada jam 9.57 pagi dengan diiringi kenderaan polis sebelum beredar pada jam 4.35 petang selepas direkod keterangan kira-kira enam jam.
Menurut sumber SPRM, keterangan Ismail Sabri akan disambung pada Khamis.
"Esok keterangan beliau diteruskan, kira-kira jam 10 pagi," katanya.
Wartawan daripada pelbagai agensi media dilihat berkampung seawal pukul 9 pagi ini bagi menantikan perkembangan terkini kes bekas pemimpin negara tersebut semasa mentadbir kerajaan dari 2021 hingga 2022.
Isnin lepas, Ismail Sabri mengambil masa lebih enam jam untuk merakam keterangan.
Pada 3 Mac, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata Ismail Sabri adalah suspek bagi siasatan kes rasuah serta pengubahan wang haram susulan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta dalam sebuah 'safe house' susulan serbuan dilakukan pihaknya.
SPRM juga dilaporkan menyita 13 akaun membabitkan nilai lebih RM2 juta bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Pendedahan itu dibuat menerusi siri serbuan membabitkan tiga premis, termasuk sebuah 'safe house' di sekitar ibu negara milik bekas pegawai kanan Ismail Sabri.
Semua hasil rampasan turut dikaitkan dengan perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta program publisiti sewaktu Ismail Sabri memegang jawatan Perdana Menteri kesembilan.
Difahamkan, SPRM juga telah merekodkan keterangan 36 saksi bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Ismail Sabri.
Ulasan
Catat Ulasan