Lip Eng: Hentikan layanan dua darjat untuk reman demi keadilan


Berita
Lip Eng: Hentikan layanan dua darjat untuk reman demi keadilan

Diterbitkan: Mar 5, 2025 1:24 PM
Dikemaskini: 1:24 PM

Seorang ahli parlimen DAP hari ini mengecam apa yang dianggapnya sebagai layanan berat sebelah dalam sistem keadilan membabitkan proses reman yang perlu dipinda segera.

Lim Lip Eng antara lain membangkitkan kes melibatkan rakyat biasa yang direman berhari-hari untuk kesalahan kecil.

Sebaliknya Ahli Parlimen Kepong berkata, dua anggota polis yang didakwa mencuri RM300,000di Bukit Jalil pada Feb lalu hanya ditahan sehari pada 23 Feb lalu dan dibiarkan tanpa digantung tugas.

“Lebih mengejutkan, pada 1 Jan lalu, seorang pegawai imigresen yang ditangkap bersama 12 pasport asing di dalam seluarnya di KLIA tidak ditahan atau didakwa, sebaliknya hanya dipindahkan tugas.

“Ini bukan sekadar isu keadilan, tetapi bukti jelas wujudnya dua darjat dalam penguatkuasaan undang-undang,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Lim turut mendesak kerajaan memastikan agar semua suspek, tanpa mengira pangkat atau status, dikenakan tindakan yang adil dalam proses siasatan.

Tegasnya, tiada sesiapa yang kebal daripada undang-undang.

“Tidak boleh ada satu set undang-undang untuk rakyat biasa dan satu set lagi untuk mereka yang beruniform.

“Jika rakyat biasa boleh direman berhari-hari, pegawai kerajaan dan penguat kuasa yang terlibat dalam jenayah juga mesti diberikan layanan yang sama,” kata Lim lagi.

Dia turut menyenaraikan contoh-contoh kes membabitkan rakyat biasa yang direman selamat empat hingga enam hari selepas dikaitkan kes-kes kecurian kecil.

“Jika warga emas dan pencuri telefon bimbit boleh direman sehingga empat hari, mengapa polis hanya ditahan sehari dan tidak digantung tugas?

“Mengapa pegawai imigresen yang menyeludup 12 pasport masih bebas tanpa tindakan tegas? Peraturan reman mesti dipinda segera,” tegasnya lagi.

Ulasan