

Berita
‘Lucunya, tiba-tiba Pemuda Umno jadi wira rakyat’
Diterbitkan: Mar 5, 2025 11:49 AM
Dikemaskini: 11:49 AM
Pemuda Amanah menyifatkan kenyataan pimpinan Pemuda Umno mengkritik menteri dalam isu beras dan monopoli Padiberas Nasional Bhd (Bernas) sebagai melucukan.
Naib Ketua Pemuda Amanah Hazmi Hassan berkata, Pemuda Umno yang begitu bersemangat menuding jari kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu yang didakwa menambah kesusahan rakyat dalam isu beras tempatan.

“Lucunya, apabila berbicara soal monopoli Bernas, tiba-tiba Pemuda Umno jadi wira rakyat.
“Ini setelah siapa memanjangkan konsesi Bernas sampai 2031? Tidakkah itu kerajaan waktu kamu?
“Siapa yang tidur lena ketika puluhan tahun rakyat terpaksa bergantung kepada sistem lama yang kamu sendiri pertahankan dulu?
“Dalam bahasa mudah, janganlah hari ini datang menjerit api kalau semalam kamu sendiri yang simbah minyak,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Memimpin usaha pembetulan
Semalam ketika isu kekurangan beras tempatan di pasaran terus menjadi perhatian Pemuda Umno Malaysia sekali lagi menghidupkan semula cadangan untuk memecahkan monopoli yang dipegang oleh Bernas.

Exco Pemuda Umno Wan Zuhir Ghazali, berkata Mohamad perlu bertanggungjawab kerana ia melibatkan sebahagian besar rakyat negara ini.
Katanya rakyat negara ini sedang terjejas teruk dengan apa yang berlaku sekarang, namun menteri bercakap mengenai isu campuran beras berlaku sejak tahun 70-an.
“Saya mencadangkan untuk menstruktur semula Bernas dan menggalakkan pemain industri baru yang lain.
“Bernas sebagai satu-satunya pihak yang mengawal import dan pengedaran beras perlu distruktur semula bagi memastikan ia tidak menghalang persaingan sihat dalam industri,” kata Wan Zuhir.
Hazmi pula menegaskan menteri bukan hanya sedang menjelaskan fakta sejarah mengenai dasar beras negara — tetapi sedang memimpin usaha pembetulan.

Dia turut menyenaraikan usaha yang sedang kerajaan Madani lakukan iaitu mengukuhkan pengeluaran beras tempatan, pemberian subsidi RM150 juta bagi menstabilkan bekalan dan memperkemas pengedaran supaya beras tempatan kembali meluas di pasaran.
‘Terima kasih Pemuda Umno dan PAS’
“Adakah cukup? Belum. Adakah mudah? Tidak. Tetapi ini kerja yang Pemuda Amanah percaya harus diteruskan — bukan dengan retorik kosong, tetapi melalui dasar berani dan penyelesaian jangka panjang.
“Kepada Pemuda Umno dan PAS, kami ucapkan terima kasih atas ‘keprihatinan’ kalian yang tiba-tiba ini,” katanya.
Tambahnya, rakyat sekarang sudah bijak menilai beza antara pelakon dan pekerja.
“Kalau benar mahu bantu rakyat, mari kita sokong usaha pecahkan monopoli yang kalian sendiri biarkan berakar.
“Mari kita dorong reformasi industri yang lebih adil, lebih telus, lebih mapan. Tapi kalau sekadar mahu cari salah untuk rakam video TikTok, maaf cakap — rakyat lapar nasi, bukan drama,” ujarnya lagi.
Ulasan
Catat Ulasan