MCMC keluarkan notis niat gantung lesen kepada pengendali Era FM



Berita
MCMC keluarkan notis niat gantung lesen kepada pengendali Era FM

Diterbitkan: Mar 5, 2025 10:06 PM
Dikemaskini: 10:06 PM

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengeluarkan Notis Niat Penggantungan Lesen kepada Astro Audio, pengendali stesen radio Era FM, susulan penyebaran video tular yang menunjukkan penyampainya mempersendakan upacara keagamaan Hindu.

MCMC berkata pemegang lesen diberi tempoh 30 hari untuk memberi maklum balas terhadap notis tersebut sebelum pihaknya membuat sebarang keputusan.

“MCMC akan mengemukakan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya esok berhubung satu video mempersendakan agama Hindu yang dimuat naik ke akaun TikTok milik stesen radio Era FM.

“Susulan kes tersebut, MCMC telah memanggil pengurusan tertinggi Astro semalam,” kata suruhanjaya itu dalam kenyataan hari ini.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, katanya lagi.

Terdahulu hari ini, Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata polis akan menyerahkan kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam masa terdekat.

Menurut Razarudin, enam individu dari stesen radio berkenaan telah hadir ke Bukit Aman pagi tadi untuk memberikan keterangan.

Mereka tiba sekitar jam 10.30 pagi dan sesi keterangan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Klasifikasi Bukit Aman dan berjalan selama lebih dua jam.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan polis bertanggungjawab untuk menyiasat semua laporan yang diterima.

Dia berkata walaupun permohonan maaf menunjukkan seseorang telah menyedari kesilapan yang dibuat, kejadian itu harus dijadikan pengajaran agar semua pihak lebih berhati-hati pada masa akan datang.

“Sementara kita berharap orang lain faham tentang budaya dan sensitiviti agama kita, kita juga kena bersikap begitu.

“Barulah hidup dengan rukun dan damai,” katanya kepada pemberita di majlis berbuka puasa kementeriannya di Putrajaya hari ini.

Ulasan