Menolak perpecahan di bulan Ramadan



Menolak perpecahan di bulan Ramadan
Oleh Juani Munir Bin Abu Bakar
1 Mac 2025, 7:15 am

RAMADAN bukan sahaja bulan beribadah untuk memohon keampunan dan keredaan Allah, tetapi lebih daripada itu termasuk membentuk jiwa berkasih sayang dan menolak sikap mazmumah yang boleh membentuk perpecahan masyarakat.

Seperti mana disebut dalam ayat 283 Surah al-Baqarah dengan maksud ‘Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang terdahulu daripada kamu, mudah-mudahan kamu bertakwa.’

Berdasarkan ayat al-Quran di atas, tujuan akhir kewajiban ibadah puasa ke atas orang-orang yang beriman adalah menjadi insan yang bertakwa.

Untuk menjadi manusia bertakwa, umat Islam kena mematuhi segala suruhan wahyu dan meninggalkan segala larangan, antaranya bersatu-padu dan menolak perpecahan sebagaimana dinyatakan dalam ayat 103 Surah Al-Imran berkenaan seruan berpegang kepada tali agama Allah dan jangan sesekali bermusuhan sesama masyarakat.

Apa ertinya Ramadan meskipun kita berusaha mempertingkatkan ibadah pada siang dan malam, sebaliknya luarannya masih wujud sikap permusuhan ekoran perasaan hasad dengki, takbur dan riak demi semata-mata mengejar kedudukan dan kemewahan.

Bagi ahli politik, bulan suci sepatutnya dijadikan gencatan politik dengan masing-masing berjiwa besar menghentikan serangan peribadi dan maki hamun antara satu sama lain dengan memfokuskan permasalahan rakyat serta berpadu tenaga untuk memacu pembangunan negara.


Tindakan segelintir pemimpin yang berterusan bermain politik bukan sahaja mewujudkan perpecahan lebih besar tetapi tidak langsung akan menyelesaikan permasalahan rakyat.

Oleh demikian, setiap pemimpin sama ada kerajaan atau pembangkang harus mencari titik persamaan iaitu bekerja untuk rakyat dengan mengenepikan politik kepartian demi agenda tersendiri.

Begitu juga dengan masyarakat umum, iaitu mengelakkan sebarang permusuhan yang boleh mencetuskan suasana tidak harmoni khususnya dalam kalangan kaum keluarga, jiran tetangga, komuniti dan rakan pejabat.

Bagi anak-anak dan kaum kerabat yang sudah lama tidak bertanya khabar dan pulang ke kampung halaman mengunjungi ibu bapa dan keluarga kerana kisah pahit, kini masa untuk menghulurkan tangan kemaafan dengan melupakan perkara lama.

Sikap sama perlu dilakukan oleh komuniti dengan menjauhkan budaya toksik seperti mengumpat, suka mengkritik tanpa asas dan gemar memandang rendah serta mencari kesalahan orang lain yang sering berlaku sesama rakan dan jiran berhampiran.

Justeru bersempena kedatangan bulan mulia ini, semua umat Islam diajak untuk mengukuhkan perpaduan dan mengelakkan perpecahan dengan mengambil pedoman seperti ditegaskan dalam al-Quran dan hadis.

Kesimpulannya, kesempurnaan ibadah Ramadan adalah apabila setiap azam perubahan ke arah kebaikan diteruskan selepas berlalunya bulan itu. Maka bertepatan dengan kata-kata ‘jadilah hamba kepada Allah dan janganlah kamu jadi hamba kepada Ramadan.’ – UTUSAN

Juani Munir Abu Bakar ialah Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia

Ulasan