Menteri gesa tindakan ke atas beberapa individu hina agama


Berita
Menteri gesa tindakan ke atas beberapa individu hina agama
Diterbitkan: Mar 6, 2025 11:11 AM
Dikemaskini: 11:22 AM

Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang meminta tindakan tegas diambil terhadap beberapa individu, termasuk pendakwah kontroversi Zamri Vinoth, kerana menyebarkan kenyataan berbentuk provokasi dan mempersendakan agama lain.

Selain Zamri, individu lain yang disebut oleh menteri itu ialah Vijayan Savarinathan, Saravanan Sanmugom, dan seorang pengguna TikTok yang menggunakan nama 'Crime_Man'.

Keempat-empat mereka memuat naik video menghina agama lain susulan kontroversi yang tercetus membabitkan penyampai radio Era FM yang mempersendakan ritual kavadi ketika sambutan Thaipusam.

Zamri mendakwa penyampai radio berkenaan hanya meniru perbuatan yang dilakukan oleh penganut agama Hindu ketika “mabuk”, manakala Vijayan, Saravanan, dan Crime_Man pula memuat naik video yang menghina Islam dan umat Islam.

Dalam satu kenyataan malam tadi, Aaron berkata tindakan individu berkenaan merupakan perbuatan yang tidak boleh dterima sama sekali.


“Saya dengan ini memberi amaran keras kepada semua pihak agar tidak mengulangi perbuatan yang tidak bertanggungjawab ini.

"Saya memohon agar pihak Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) segera mengambil tindakan yang sewajarnya ke atas individu-individu terlibat dalam penyebaran kandungan-kandungan yang tidak bertanggungjawab ini," katanya.

Aaron berkata tindakan tidak bertanggungjawab yang menjurus kepada perbuatan menghina agama dan sensitiviti kaum adalah suatu ancaman kepada keamanan dan keharmonian negara.

"Oleh itu Kementerian Perpaduan Negara terus melaksanakan kempen Cakap Baik-Baik serta menerapkan prinsip integriti nasional Faham, Hormat dan Terima melalui program-program supaya dapat mendidik rakyat Malaysia dalam menghormati agama dan budaya penganut lain," katanya.

Ulasan