'My God’ kata Najib apabila tahu RM42 juta masuk ke akaun, kata saksi


Berita
'My God’ kata Najib apabila tahu RM42 juta masuk ke akaun, kata saksi

Diterbitkan: Mar 10, 2025 4:09 PM
Dikemaskini: 4:33 PM

BICARA 1MDB l Najib Razak menggumam 'My God' apabila diberitahu pada 2015 mengenai RM42 juta yang dimasukkan ke dalam akaun bank Malaysia bekas perdana menteri itu, kata saksi pembelaan.

Bekas pengarah tanggungjawab sosial korporat (CSR) 1MDB Shamsul Anwar Sulaiman memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi di Putrajaya hari ini berhubung reaksi tertuduh apabila saksi pembelaan memberitahunya mengenai apa yang berlaku pada Julai tahun itu.

Semasa perbicaraan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram RM2.27 bilion hari ini terhadap Najib, Shamsul teringat bahawa dia menerima panggilan telefon daripada Najib bertanyakan sama ada benar saksi itu telah memindahkan RM42 juta dalam tiga peringkat antara akhir 2014 dan awal 2015.

Shamsul menjelaskan bahawa dia berada di London ketika menerima panggilan telefon daripada Najib. Menurutnya, dia ke ibu kota United Kingdom itu dari Antwerp, Belgium, untuk menenangkan fikirannya selepas mendapat tahu tentang artikel Wall Street Journal mengenai RM42 juta itu.

Dia berkata sebelum ini dirinya menerima panggilan daripada setiausahanya bahawa pejabatnya di Malaysia telah diserbu SPRM.

Dalam keterangannya, Shamsul juga memberitahu hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah bahawa dia memberitahu Najib ketika itu bahawa dia memang telah membuat pemindahan tetapi dia tidak mengetahui identiti akaun AmPrivate Banking-MY tersebut.

"Najib kemudian bertanya kepada saya mengapa saya memindahkan dana itu ke dalam akaun tersebut.

“Saya beritahunya bahawa saya mengikut arahan daripada Ung Su Ling dan Dennis See (yang ketika itu masing-masing adalah ketua pegawai eksekutif dan pengarah projek Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M)), kerana adalah amalan standard bagi saya untuk memproses pembayaran berdasarkan arahan mereka untuk program CSR.

"Memandangkan peranan mereka dalam YR1M, saya percaya bahawa pembayaran ini bertujuan untuk tujuan CSR.

"Daripada reaksinya melalui telefon, saya percaya bahawa Najib terkejut, kerana saya jelas dengar dia berkata My God”, kata Shamsul.

Perlu dinyatakan ngat bahawa mahkamah jenayah berasingan pada 2020 mendapati Najib bersalah atas kes rasuah yang dikaitkan dengan RM42 juta, dan sejak rayuannya ditolak pada 2022, bekas perdana menteri itu telah menjalani hukuman penjara enam tahun dan didenda RM50 juta.

Keterangan Shamsul hari ini adalah untuk membantu Najib meangani kes rasuah membabitkan penyelewengan RM2.27 bilion dana 1MDB.

Secara kebetulan, Shamsul juga memberi keterangan dalam perbicaraan SRC, dan memaklumkan bahawa Najib terkejut apabila mendapat tahu RM42 juta dimasukkan ke dalam akaunnya.

Semasa perbicaraan 1MDB hari ini, Shamsul berkata dia mengikut arahan Ung dan See kerana mereka adalah pembiaya Ihsan Perdana.

Ulasan