
Nabil, Azad dan Radin lebih dua jam diambil keterangan
Oleh Farihad Shalla Mahmud - Mac 5, 2025 @ 2:17pm
Trio 3 Pagi Era dilihat keluar dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dengan menaiki Toyota Vellfire warna hitam selepas merekodkan keterangan lebih dua jam. - NSTP/Aswadi Alias
KUALA LUMPUR: Penyampai 3 Pagi Era, Nabil Ahmad, Radin dan Azad Jasmin termasuk tiga kakitangan stesen radio terbabit selesai memberi keterangan di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bukit Aman, di sini, kira-kira jam 1.10 tengah hari tadi.
Mereka dilihat keluar dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dengan menaiki Toyota Vellfire warna hitam selepas merekodkan keterangan lebih dua jam.
Mereka berlalu pergi tanpa menyapa sekumpulan wartawan yang hadir membuat liputan kes tersebut.
Terdahulu, tiga penyampai terbabit tiba di Bukit Aman jam 10.30 pagi ini bagi diambil keterangan membabitkan siasatan dakwaan mempersenda upacara agama hindu.
Siasatan ke atas tiga penyampai berkenaan dijalankan di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Semalam, media melaporkan polis mengesahkan menjalankan siasatan terhadap kakitangan Era FM berkaitan video tular mempersenda upacara agama lain menerusi media sosial.
Ia selepas laporan dibuat seorang jurutera berusia 44 tahun yang melihat satu hantaran video di Facebook memaparkan beberapa individu daripada stesen radio berkenaan didakwa mempersendakan agama Hindu.
Pengadu mendakwa beberapa individu daripada stesen radio berkenaan didakwa bersorak perkataan 'Vel, Vel', manakala seorang lelaki sedang menari.
Semalam, tular video mendakwa penyampai 3 Pagi Era, Nabil, Azad dan Radin mohon maaf atas video kontroversi mempersenda tarian kavadi Hindu iaitu upacara suci dilakukan ketika Thaipusam kepada Dewa Murugan.
Video berkenaan sudah diturunkan dalam platform media sosial stesen radio berkenaan yang memaparkan seorang daripada mereka meniru tarian kavadi, sambil menyebut 'Vel Vel', disusuli gelak tawa rakan lain.
Klip video itu mengundang kecaman ramai kerana secara terang-terangan mempersendakan upacara keagamaan penganut Hindu.
Ulasan
Catat Ulasan