'Nyawa kami terancam' - Penduduk risau tanah mendap semakin serius




'Nyawa kami terancam' - Penduduk risau tanah mendap semakin serius
Oleh Mary Victoria Dass - Mac 22, 2025 @ 11:15pm
Keadaan tanah mendap di ruang parkir bersebelahan Blok E Pangsapuri Fasa 13 di Jalan Padi Malinja, Bandar Baru Uda.

JOHOR BAHRU: Kira-kira 100 penduduk Blok E Pangsapuri Fasa 13 di Jalan Padi Malinja, Bandar Baru Uda, di sini, terancam apabila sebahagian ruang parkir mendap akibat hujan berterusan, kelmarin.

Mendapan terbentuk sepanjang kira-kira 50 meter, lebar hampir tiga meter dan sedalam kira-kira satu meter yang mana jarak antara kawasan itu dengan bangunan Blok E hanya kira-kira tiga meter.

Penduduk, Helmi Mahat, 49, berkata sebahagian parkir mula retak sejak Januari lalu hingga lima lot parkir tidak boleh digunakan.

"Parkir itu bersebelahan longkang besar dan kami bimbang mendapan menyebabkan tembok runtuh ke dalam longkang.

"Selama ini pengurusan menutup lima parkir, namun disebabkan hujan berterusan keadaan bertambah buruk.

"Kira-kira jam 1.30 tengah hari kelmarin kami melihat parkir retak mula mendap dan hampir sejam kemudian ia mula memanjang hingga hampir kira-kira 50 meter," katanya ketika ditemui.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan 10 parkir tidak boleh digunakan dan lebih membimbangkan ia hanya kira-kira tiga meter dari bangunan pangsapuri berkenaan.

"Saya sudah menghuni di sini sejak lebih 20 tahun lalu dan tidak pernah menghadapi masalah ini sebelum ini," katanya.

Penduduk, Rosli Ramli, 57, berkata buat masa ini dia masih tinggal di rumah berkenaan, namun akan membawa dua anak dan isterinya ke rumah keluarga di kawasan berhampiran jika keadaan bertambah buruk.

"Ini soal nyawa dan saya harap pihak berkuasa akan ambil tindakan sewajarnya," katanya.

Wakil perbadanan pengurusan rumah pangsa berkenaan, Norqarihah Mazelan, 58, berkata dia sudah membuat aduan berkaitan mendapan tanah itu sejak Februari lalu, namun tiada kerja baik pulih dilakukan.

Menurutnya, dia membuat aduan kepada Jabatan Mineral dan Geologi, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).

Katanya, wakil jabatan Geologi dan Mineral serta JPS ada meninjau dan menjalankan siasatan, namun mendapati kes di bawah tanggungjawab MBJB.

"Kami faham banyak kawasan di dalam Johor Bahru banjir kilat semalam, namun kes kami juga memerlukan perhatian kerana membabitkan lebih 100 nyawa penduduk," katanya.

Ulasan