
PAS kutuk serangan Israel korban lapan sukarelawan MAPIM
March 18, 2025
KUALA LUMPUR: PAS mengutuk sekeras-kerasnya serangan udara terbaharu rejim Israel di Gaza yang mengorbankan lapan sukarelawan kemanusiaan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) pada Sabtu lalu.
Serangan di Beit Lahiya, utara Gaza, itu menyasarkan sukarelawan kesemuanya rakyat Palestin, ketika mereka sedang memasang khemah bagi menempatkan orang awam yang kehilangan tempat perlindungan akibat konflik berterusan.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, tindakan Israel itu jelas melanggar undang-undang antarabangsa serta Konvensyen Geneva yang memberi perlindungan kepada orang awam di zon konflik.
Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM, Datuk Dr Sani Araby Abdul Halim menyifatkan serangan tersebut sebagai jenayah perang kejam dan tidak berperikemanusiaan, lebih-lebih lagi perbuatan menyerang sukarelawan kemanusiaan adalah tindakan tidak bermoral dan merupakan jenayah perang paling hina.
“Justeru PAS menyokong penuh gesaan MAPIM agar pemimpin dunia, badan-badan kemanusiaan dan masyarakat awam mengutuk serangan tersebut dan pihak-pihak yang bertanggungjawab ke atasnya,” kata Takiyuddin dalam satu kenyataan hari ini.
Ahli Parlimen Kota Bharu itu turut menggesa Kerajaan Malaysia, khususnya Wisma Putra, untuk meningkatkan usaha dan mengambil semua langkah perlu bagi melindungi keselamatan sukarelawan kemanusiaan serta hak rakyat Palestin daripada serangan berterusan rejim Israel yang disokong oleh Amerika Syarikat.
Menurutnya, tekanan antarabangsa perlu dikenakan ke atas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang masih menghalang fasa kedua rundingan gencatan senjata.
“(Ia) dengan tujuan melanjutkan fasa pertama pertukaran tahanan tanpa melaksanakan langkah-langkah kemanusiaan dan ketenteraan yang dipersetujui sebelum ini,” katanya.
Dalam pada itu katanya, HAMAS menegaskan komitmennya terhadap perjanjian gencatan senjata dan menggesa semua pihak yang terlibat untuk segera memulakan fasa kedua rundingan.
“Adalah amat mengecewakan sejak perjanjian gencatan senjata HAMAS-Israel yang berkuat kuasa pada 19 Januari tahun ini, rejim Tel Aviv telah membunuh 150 rakyat Palestin, termasuk 40 orang dalam tempoh dua minggu lepas,” katanya.
Pada Ahad, Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan jumlah korban rakyat Palestin sejak konflik 7 Oktober 2023 kini mencecah 48,572 orang, manakala 112,032 lagi cedera. – HARAKAHDAILY 18/3/2025
Ulasan
Catat Ulasan