
PAS terbukti parti inklusif, terbuka kepada semua
March 10, 2025
SUBANG: PAS bukan sebuah parti eksklusif untuk satu golongan tertentu, sebaliknya ia adalah parti inklusif yang menerima sesiapa sahaja yang mahu berjuang demi Islam, kata Yang Dipertua PAS Kawasan Subang, Roslan Shahir Datuk Mohd Shahir.
Beliau menegaskan bahawa PAS tidak mengenakan syarat ketat kepada sesiapa yang ingin menyertai atau memegang jawatan dalam parti, selagi individu tersebut menerima perlembagaan parti dan mengangkat cita-cita perjuangan Islam.
“Satu perkara unik dalam PAS sejak penubuhannya, ianya walau Parti Islam, ia bukan eksklusif untuk satu golongan atau kategori tertentu tetapi ia inklusif parti yang menerima sesiapa sahaja asal mahu duduk dan menyumbang pada perjuangan Islam,” katanya dalam media sosial miliknya hari ini.
Menurutnya, prinsip itu bertepatan dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”
Sejarah membuktikan keterbukaan PAS
Roslan berkata, PAS bukan milik mana-mana puak tetapi milik mereka yang berjuang untuk menegakkan kalimah Allah sebagai sistem kehidupan bermasyarakat dan bernegara.
Beliau memberi contoh bagaimana PAS pernah melantik individu berpengaruh seperti Almarhum Dr Burhanuddin al-Helmi sebagai Yang Dipertua Agung PAS (kini Presiden) dalam tempoh 11 hari selepas beliau menjadi ahli PAS pada 14 Disember 1956.
“Almarhum Dr Burhanuddin al Helmi yang mencipta sejarah membawa PAS menang kerusi terbanyak di blok pembangkang iaitu 13 kerusi dan dua buah negeri Kelantan dan Terengganu dalam Pilihan Raya Umum yang pertama.
“Hanya menjadi ahli PAS pada 14 Disember 1956 dan kemudiannya menjadi Presiden pada 25 Disember tahun yang sama iaitu dalam tempoh 11 hari!” katanya.
Namun menurutnya, hasil gandingan Dr Burhanuddin dan Timbalannya Almarhum Prof Zulikifli Muhammad telah menaikkan PAS menjadi parti Melayu kedua terbesar dan berpengaruh di Semenanjung.
“Beliau ikut rekodnya bukan memohon menjadi ahli PAS tetapi sebaliknya telah dipelawa oleh Jawatankuasa PAS Pusat ekoran berlaku kekosongan jawatan berkenaan setelah Dr Abbas Alias terpaksa mengundurkan diri.
“Bagi menghadapi PRU pertama PAS perlu segera bertindak ketika itu dan perlukan seorang yang berpengaruh dan berwibawa untuk memimpin parti.
“Jawatankuasa PAS Pusat ketika itu dikira sangat berjiwa besar dan memandang jauh ke hadapan sehingga akhirnya memutuskan menghantar delegasi melamar Dr Burhanuddin, beliau akhirnya bersetuju,” jelasnya.
Beliau menambah, dalam tempoh yang sama, PAS juga menerima penyertaan bekas Ketua Kaum Ibu Umno (kini Ketua Wanita Umno), Allahyarham Khadijah Sidek, yang dipecat dari parti tersebut.
“(Beliau) dipelawa menyertai PAS. Beliau bersetuju dan Dr Burhanuddin meletakkan Khatijah bertanding di Parlimen Dungun. Khatijah menang menjadi wanita atau Muslimat PAS yang pertama menjadi MP tahun 1959,” katanya.
Keterbukaan PAS diteruskan hingga kini
Menurut Roslan, sikap keterbukaan PAS itu berterusan sehingga hari ini, dengan Presiden PAS bersetuju mencalonkan beberapa tokoh Umno bertanding atas tiket PAS dalam pilihan raya lalu.
“Presiden juga bersetuju melantik Tan Sri Anuar Musa (bekas SU Umno) dan Datuk Seri Shahidan Kasim menjadi Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang dilantik,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa dalam PAS, mereka yang paling bertakwa akan diberikan penghormatan dan diangkat dalam kepimpinan, bukan semata-mata berdasarkan tempoh lama dalam parti.
Roslan turut mengingatkan bahawa sejarah menunjukkan kepentingan ketakwaan dalam perjuangan politik, bukannya pangkat atau pengalaman semata-mata.
Beliau merujuk kepada peristiwa selepas PAS mencapai kejayaan besar dalam PRU 1959, apabila seorang Ahli Parlimen PAS yang juga Setiausaha Agung parti, Othman Abdullah, memilih untuk melompat parti dan menyokong kerajaan Perikatan.
“Dalam PRU 1959 itu setelah PAS berjaya menang 13 kerusi termasuk membantu Allahyarham Dato’ Onn Jaafar (bekas pengasas dan Presiden Umno) menang di Parlimen Kuala Terengganu, tiba-tiba seorang MP PAS yang juga SUA parti Othman Abdullah memilih melompat parti dan menyokong kerajaan Perikatan (ketika itu).
“Maka benarlah firman Allah, bukan orang lama atau orang baru yang paling mulia, bukan Presiden atau ahli biasa, tetapi yang paling mulia dan bernilai adalah mereka yang paling bertakwa dalam kalangan kita,” katanya.
Beliau berharap agar semua ahli PAS dapat mengambil iktibar daripada sejarah terdahulu supaya perjuangan parti terus kekal utuh dan berjaya. – HARAKAHDAILY 10/3/2025
Ulasan
Catat Ulasan