
‘PASDAP, BersaDAP’: Syarahan Saarani dinantikan Idris
March 20, 2025
BACHOK: Datuk Ustaz Idris Ahmad semangat menunggu syarahan yang bakal disampaikan Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad mengenai hubungan PAS-DAP (PASDAP) dan Bersatu-DAP (BersaDAP).
Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Tampan itu melenting apabila Ahli Parlimen Bagan Serai tersebut mengungkit bahawa Kerajaan Negeri Perak dibentuk hasil hubungan Umno dan DAP atau UmDAP.
“Ketika saya dalam pelancaran jentera sempena Pilihan Raya Kecil DUN Ayer Kuning baru-baru ini, saya cakap berkenaan dengan Kerajaan Negeri Perak ini dikuasai oleh UmDAP, Umno dan DAP.
“Esoknya Dato’ Seri Saarani respon, dia sebut nama saya. Dia kata tak apa saya akan bersyarah balik, nak cerita berkenaan PASDAP (PAS dan DAP). Tak apalah suruh dia bersyarah kita nak syarah pulak ni,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penghayatan Nuzul al Quran dan Ceramah Badar al Kubra PAS Negeri Kelantan di Kompleks Pendidikan Islam (KPI) Kampung Badak, di sini malam kelmarin.
Turut hadir Menteri Besar, Dato Panglima Perang Mohd Nassuruddin Daud dan Naib Presiden PAS, Dato’ Sri D’Raja Mohd Amar Abdullah serta Pesuruhjaya PAS Negeri Kelantan, Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob.
Naib Presiden PAS itu berkata lagi, kerajaan UmDAP di Perak sedar bahawa penyokong Umno dalam DUN Ayer Kuning yang bakal mengadakan PRK 26 April depan, menolak hubungan Umno dan DAP.
Beliau berkata, kemenangan calon Umno pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) disebabkan sebahagian daripada mereka termakan dengan momokan kepimpinan ketika itu iaitu, ‘No Anwar, No DAP’.
“Sekarang bila sudah terbukti dah tentulah insyaAllah semua kita ini untuk kita nak membantu pastikan kalau menang di sana Ayer Kuning kita akan menang pada Pilihan Raya Umum Ke 16 (PRU16) nanti.
“Kerana UmDAP tahu di kawasan Ayer Kuning ini kawasan yang didokong oleh orang kuat kawan-kawan Bossku, mereka tidak boleh terima untuk nak DAP,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/3/2025
Ulasan
Catat Ulasan