Pastikan badan halal luar negara ikut standard Malaysia


Pastikan badan halal luar negara ikut standard Malaysia
March 5, 2025

Dato' Mumtaz Md Nawi

KUALA LUMPUR: Penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan blok rantai dilihat mampu memantau pematuhan badan halal luar negara serta memastikan produk diimport memenuhi standard halal tempatan.

Dato’ Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) berkata, kepentingan kedua-dua teknologi tersebut perlu diberikan perhatian sewajarnya oleh agensi terbabit iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Beliau berkata, revoluasi perkembangan teknologi turut membawa cabaran baru dalam usaha kerajaan memastikan badan halal luar negara mengikut standard ketetapan dibuat oleh kerajaan.

“Adakah kerajaan bercadang untuk menggunakan teknologi ini bagi memantau pematuhan badan halal luar negara secara masa nyata sekali gus memastikan memenuhi standard JAKIM sebelum masuk Malaysia.

“Ini kerana perdagangan global ini berlaku serentak,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata pihaknya sedang meneliti potensi teknologi itu bagi memperkukuhkan lagi pemantauan dan pemantuhan.

Malah kata beliau lagi, cadangan tersebut dilihat selari dengan usaha untuk pastikan semua produk luar negara memenuhi standard halal ditetapkan oleh JAKIM sebelum memasuki pasaran tempatan.

Beliau turut menjawab soalan asal Mumtaz yang meminta Perdana Menteri menyatakan langkah Kerajaan memastikan logo halal dari luar negara memenuhi piawaian seumpama JAKIM dan rancangan memperketatkan prosedur pengiktirafan halal antarabangsa.

Mohd Na’im berkata, kerajaan mengambil langkah proaktif dalam memastikan logo halal dari luar negara memenuhi piawaian dan standard setanding dengan standard halal Malaysia oleh JAKIM. – HARAKAHDAILY 5/3/2025

Ulasan