Oleh Ismail Daud
11 Mac 2025, 6:40 am
Pada Mei tahun lalu, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperkenalkan Akaun Fleksibel. 10 peratus jumlah simpanan ahli dimasukkan ke dalam akaun ini. Akaun ini bertujuan memenuhi keperluan kewangan jangka pendek ahli. Bermakna, ia boleh dikeluarkan pada bila-bila masa.
Dianggarkan RM25 bilion dipindahkan ke Akaun Fleksibel pada tahun pertama berasaskan corak pengeluaran daripada skim-skim sebelum ini dan angka itu akan berkurangan kepada RM4 bilion hingga RM5 bilion setahun selepas itu.
Sejak itu, sudah ramai yang mengeluarkan wang simpanan mereka. Cuma, tidak pasti sama ada mereka benar-benar memerlukan wang atau hanya mengambil kesempatan. Amat merugikan jika ada yang mengeluarkan simpanan itu untuk membeli benda yang tidak perlu.
Penegasan Perdana Menteri bahawa simpanan KWSP tidak wajar dikeluarkan sewenang-wenangnya amat dialu-alukan. Beliau tegas berpendirian, caruman itu adalah untuk simpanan hari tua dan prinsip itu akan beliau pegang.
Cukuplah dengan i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra yang menyusutkan simpanan kita sebelum ini. Simpanan KWSP tidak wajar terus dijadikan ‘penyelamat’. Langkah kerajaan menaikkan kadar caruman Akaun Persaraan daripada 70 peratus kepada 75 peratus dijangka mampu mengurangkan impak daripada tiga pengeluaran sebelum ini.
Dalam kalangan pekerja yang masih muda, ramai yang mungkin tidak nampak perlunya dikekalkan simpanan sehingga usia persaraan. Memang itu duit kita tetapi mungkin itu sahaja simpanan yang kita ada apabila tua nanti.
Mereka perlu melihat KWSP sebagai satu skim tabungan yang terbaik. Kadar dividen yang tidak pernah kurang lima peratus dengan yang terbaharu sebanyak 6.3 peratus, tiada institusi kewangan yang mampu memberikan kadar sebaik itu. Hanya skim cepat kaya yang boleh ‘lawan’ KWSP.
Menurut seorang penasihat kewangan dari Singapura yang dikenali sebagai Loo Cheng Chuan, pekerja Malaysia sangat beruntung kerana mendapat dividen daripada simpanan yang diwajibkan oleh kerajaan, setinggi itu.
Central Provident Fund (CPF) republik itu, menurut beliau, hanya memberikan dividen tetap sebanyak 2.5 peratus sahaja.
Beliau menyifatkan KWSP sebagai lombong emas dan menasihatkan rakyat Malaysia untuk memanfaatkan kelebihan itu dengan turut menambah sendiri simpanan dalam KWSP semaksimum mungkin. Itulah yang orang luar nampak.
Kiraan mudahnya ialah dengan simpanan RM100,000 dan purata dividen KWSP sebanyak 6.02 peratus, dalam tempoh 35 tahun bersama dividen setiap tahun, simpanan terkumpul seseorang pencarum itu boleh mencapai RM773,700, hampir lapan kali ganda.
Rakyat Malaysia perlu ambil kesempatan yang ditawarkan oleh KWSP dengan menambah simpanan dan cuba mengelakkan daripada mengeluarkan simpanan dalam Akaun Fleksibel. Jangan jadikan Aidilfitri atau apa-apa sahaja sebagai alasan.
Dalam keadaan yang serba mencabar pada hari ini, berjimat adalah segala-galanya. Elak menambah hutang kerana mengikut Jabatan Insolvensi, lebih 31,000 belia di bawah usia 35 tahun muflis disebabkan gagal membayar hutang. Ukurlah baju di badan sendiri.
Ismail Daud adalah Timbalan Pengarang Utusan Malaysia/Mingguan Malaysia – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan