Pendidikan politik, undi mandatori tingkat kesedaran pengundi
March 3, 2025
KUALA LUMPUR: Dato’ Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat), mencadangkan agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menekankan pendidikan politik dan kempen yang sihat bagi memastikan rakyat mendapat maklumat yang adil dan seimbang sebelum membuat keputusan dalam pilihan raya.
Beliau berkata demikian susulan ketidakseimbangan liputan media semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Umum (PRU), yang menurutnya lebih memihak kepada parti pemerintah.
Katanya, ini menyebabkan pengundi tidak dapat melihat sesuatu isu daripada pelbagai perspektif, sekali gus memberi kesan kepada keputusan mereka.
“Ini tidak memberikan pendidikan yang baik kepada rakyat untuk memberikan peluang dan ruang yang sama supaya mereka mendapat melihat satu isu daripada dua ataupun tiga pihak yang berbeza.
“Jadi kita lihat hari ini manipulasi media sosial telah pun berlaku menyebabkan kadang-kadang pengundi dipengaruhi oleh politik ketakutan dan janji kosong.
“Jadi menyebabkan mereka mengundi dalam keadaan mereka hanya terpengaruh dengan liputan tersebut,” katanya dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2024) 2025 bagi Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar kerajaan menggubal akta bagi menjadikan pengundian sebagai kewajipan mandatori bagi meningkatkan kadar keluar mengundi, yang sering mencatat peratusan rendah dalam PRK.
“Bukanlah kita nak menghukum mana-mana pihak yang tidak akan mengundi tetapi kelebihan dan insentif kepada rakyat kita yang keluar mengundi supaya kadar mengundi ini akan tetap menjadi relevan dan kesan kepada keputusan demokrasi itu sendiri,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/3/2025
Ulasan
Catat Ulasan