Penerbit 'Bidaah' ditegur JAKIM, bersedia potong adegan tidak sesuai

Penerbit 'Bidaah' ditegur JAKIM, bersedia potong adegan tidak sesuai
Oleh BERNAMA - Mac 15, 2025 @ 11:07pm
Gambar fail - Barisan pelakon drama bersiri, Bidaah. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Penerbit drama bersiri 'Bidaah' dilaporkan akur dengan teguran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan bersedia memotong mana-mana adegan yang tidak sesuai untuk tontonan masyarakat di negara ini.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, berkata pihaknya melalui Ahli Jawatankuasa Penapisan Media Berunsur Islam telah memanggil dan mengadakan pertemuan dengan penerbit 'Bidaah'.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya juga meneliti kandungan drama berkenaan meliputi klip video episod yang mencetuskan kontroversi dan klip video episod belum ditayangkan, untuk menilai kesan serta implikasi kandungannya.

"JAKIM telah membuat teguran dan memberi penegasan kepada pihak produksi bahawa sebarang karya seni yang dihasilkan perlu selari dengan prinsip akidah, syariah dan akhlak serta tidak menimbulkan fitnah kepada ajaran Islam," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sirajuddin berkata, JAKIM sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan seniman serta karyawan dalam menghasilkan kandungan bermanfaat dan mematuhi garis panduan agama.

Beliau berkata, JAKIM juga menegaskan bahawa Garis Panduan Penapisan Kandungan Bahan-Bahan Penyiaran Berunsur Islam yang dikeluarkan pada 2015 adalah rujukan utama bagi semua pihak dalam industri penyiaran.

"Islam tidak menolak kesenian, bahkan mengiktirafnya sebagai antara cara untuk mengekspresikan keindahan dianugerahkan Allah SWT dan dakwah kepada masyarakat.

"Namun, seni dalam Islam mesti mematuhi garis panduan syariah, membawa kepada kebaikan dan tidak melalaikan atau mempromosikan perkara yang bertentangan dengan nilai serta etika," katanya.

Terdahulu, tular dalam media sosial adegan pelakon, Vanidah Imran sebagai Ummi Rabiatul yang menyentuh janggut Faizal Hussein sebagai Walid, menggunakan kakinya sehingga menjadi perdebatan ramai dalam media sosial.

'Bidaah' mula ditayangkan melalui platform penstriman Viu Malaysia pada 6 Mac lalu dengan diarahkan oleh Pali Yahya dan diterbitkan produksi Rumah Karya Citra milik Erma Fatima.

Drama itu berkisarkan kehidupan pengamal ajaran sesat, Walid yang tersebar di sebuah perkampungan dengan mengaku sebagai jelmaan Imam Mahdi kepada pengikutnya.

Ulasan