

Berita
Pengendali Era FM dikenakan kompaun RM250,000
Diterbitkan: Mar 11, 2025 2:54 PM
Dikemaskini: 6:11 PM
Tiada penggantungan lesen dikenakan ke atas Era FM ekoran kontroversi yang dicetuskan tiga penyampai stesen radio terbabit baru-baru ini.
Bagaimanapun, menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), pengendali Era FM dikenakan kompaun sebanyak RM250,000.
Menurut MCMC tindakan berkenaan dibuat berhubung kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu kerana memuat naik kandungan jelik melampau.
"MCMC telah menerima rayuan daripada Maestra Broadcast Sdn Bhd selaku pengendali stesen radio Era FM berhubung notis niat penggantungan lesen yang telah dikeluarkan kepada syarikat tersebut pada 7 Mac 2025.
"Setelah meneliti hujah-hujah rayuan tersebut, keputusan dibuat untuk tidak menggantung lesen Maestra Broadcast Sdn Bhd.
"Dalam membuat keputusan tersebut, pertimbangan juga telah diberikan terhadap tindakan-tindakan susulan yang telah dilaksanakan oleh syarikat pemegang lesen, permohonan maaf oleh pihak terbabit, serta kesan penggantungan terhadap stesen radio Melody dan Mix FM yang beroperasi di bawah lesen yang sama," kata agensi itu hari ini.
Stesen Era FM mengundang kontroversi ekoran tindakan tiga penyampai mereka - Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin Amir Affendy - terpalit dengan dakwaan menghina agama Hindu.
Aksi mereka itu tular selepas stesen radio berkenaan memuat naik klip video pendek ke akaun TikTok. Bagaimanapun ketiga-tiga penyampai bagi segmen 3 Pagi Era itu pantas memohon maaf atas tindakan tersebut.
Mahu sentiasa bertanggungjawab
Namun keadaan tidak menjadi lebih baik apabila mereka ke Batu Caves untuk meminta maaf dan berkunjung berkenaan juga dimuat naik ke media sosial.
Sesetengah pihak menganggap tindakan tersebut sebagai keterlaluan.
Tidak dapat dipastikan apa yang mendorong Nabil, Azad dan Radin Amir bertindak untuk pergi ke Batu Caves untuk berbuat demikian.
Mereka juga digantung tugas bersama dua yang lain oleh syarikat penyiaran berkenaan.
Pada 5 Mac, MCMC mengeluarkan notis hasrat untuk menggantung lesen pengendali Era FM dan mereka diberikan tempoh 30 hari untuk memberi maklum balas terhadap notis tersebut.
Menurut MCMC hari ini, mereka memandang serius sebarang tindakan memuat naik kandungan dalam talian yang boleh mengakibatkan ketegangan antara agama atau mengganggu keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
"Semua pengendali dan pengguna platform diingatkan untuk sentiasa bertanggungjawab dalam memelihara keharmonian kaum dan agama di Malaysia serta mematuhi undang-undang negara," katanya
Ulasan
Catat Ulasan