
Pengkritik PSB cuba halang Melayu bandar daripada dibantu - Rodziah
05 Mac 2025 12:34pm
Masa membaca: 3 minit

Akta Pembaharuan Semula Bandar adalah satu situasi menang-menang kepada ekonomi negara dan pemilik hartanah yang berpendapatan rendah. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Rodziah)
SHAH ALAM - Cadangan kerajaan memperkenalkan Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) bagi menangani masalah perumahan usang di kawasan bandar yang mendapat tentangan daripada pihak pembangkang atas dakwaan kononnya bakal menghakis hak orang Melayu, hakikatnya tidak berasas.
Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail turut mempersoalkan sama ada kritikan pembangkang terutamanya Pemuda Pas terhadap inisiatif PSB sebenarnya merupakan cubaan mereka untuk menghalang penduduk Melayu di bandar daripada dibantu.
Menurutnya, pembangkang sepatutnya menyokong usaha kerajaan untuk membantu rakyat, khususnya masyarakat Melayu berpendapatan rendah yang masih tinggal di kawasan perumahan usang dan sesak.
"Ironinya, Pas sendiri tidak mempunyai rekod membantu Melayu bandar, tetapi kini mereka cuba menghalang usaha kerajaan untuk memberikan kehidupan lebih baik kepada mereka," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
PSB yang dijangka dibentangkan di Parlimen tahun ini bertujuan mempercepatkan proses pembangunan semula kawasan usang dengan menurunkan ambang persetujuan pemilik bangunan bagi penjualan secara en bloc (pukal).
Jika diluluskan, undang-undang ini akan membolehkan bangunan berusia bawah 30 tahun boleh diambil alih pemaju dengan 80 peratus persetujuan pemilik, bangunan berusia lebih 30 tahun memerlukan dua pertiga (66.7 peratus) persetujuan dan bangunan tidak selamat atau terbengkalai hanya memerlukan 50 peratus persetujuan untuk dijual.
Langkah ini dijangka membuka peluang kepada lebih ramai penduduk bandar mendapatkan rumah lebih selesa dengan infrastruktur lebih baik.
Rodziah turut memetik laporan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang mengenal pasti 139 bidang tanah di Kuala Lumpur untuk pembangunan semula, termasuk 91 kawasan kediaman.
"Jika projek ini berjalan, ia berpotensi menjana nilai pembangunan kasar (GDV) RM332.5 bilion dan mencipta lebih banyak peluang ekonomi.
"Saya turut menolak dakwaan pembangkang bahawa penggunaan tanah rizab Melayu untuk pembangunan bandar akan menghapuskan pemilikan Melayu.
"Ini satu pembohongan. Sebaliknya, langkah ini akan memberi manfaat besar kepada orang Melayu yang tinggal di bandar. Mereka akan mendapat rumah yang lebih selesa, selain infrastruktur dan kemudahan awam lebih baik," katanya.
Beliau turut menyuarakan sokongan terhadap usaha menyemak semula Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) yang kini menyukarkan pembangunan semula kerana memerlukan persetujuan sebulat suara pemilik bangunan.
"Jika hanya seorang pemilik menolak penjualan, seluruh projek boleh terbantut dan akhirnya penduduk terus terperangkap dalam bangunan yang semakin usang dan tidak selamat," jelasnya.
Justeru, Rodziah menyeru pihak pembangkang agar tidak menjadikan PSB sebagai modal politik sebaliknya memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat.
"Pengkritik perlu bertanya kepada diri sendiri, adakah mereka benar-benar mahu membantu Melayu bandar atau hanya mencari isu untuk mencetuskan ketegangan?" soalnya.
PSB dijangka dibentangkan di Parlimen hujung tahun ini dan jika diluluskan, ia bakal membawa perubahan besar kepada landskap perumahan bandar di Malaysia.
Ulasan
Catat Ulasan