PENINGKATAN BENCANA BANJIR DI JOHOR : KHIDMAT MALAYSIA ARAH BILIK GERAKAN NEGERI DAN BILIK OPERASI PARLIMEN DIBUKA SEGERA
PENINGKATAN BENCANA BANJIR DI JOHOR : KHIDMAT MALAYSIA ARAH BILIK GERAKAN NEGERI DAN BILIK OPERASI PARLIMEN DIBUKA SEGERA
Banjir di Johor telah meningkat secara mendadak pada hari ini. Sehingga pukul 3.50 petang ini, sebanyak 42 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka di seluruh negeri Johor dengan 2,982 orang mangsa daripada 886 keluarga. Trend peningkatan jumlah mangsa banjir di Johor ini agak membimbangkan, lebih-lebih lagi melibatkan kawasan-kawasan di dalam Daerah Kota Tinggi dan daerah-daerah lain yang berpontensi untuk alami bencana banjir. Kejadian banjir di Johor ini juga dilihat mengulangi episod bencana banjir yang berlaku pada tahun 2023 apabila bencana banjir berlaku ketika umat Islam sedang berpuasa di dalam bulan Ramadhan.
Dilaporkan bahawa daerah Johor Baharu paling teruk terjejas sehingga mencatatkan seramai 1,251 mangsa daripada 356 keluarga di 17 PPS, diikuti dengan daerah Kota Tinggi dengan melibatkan 803 orang mangsa di 11 PPS yang telah dibuka. Selain itu, PPS juga telah dibuka di daerah Pontian (8 PPS), Kulai (5 PPS) dan Kluang (1 PPS).
Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah meramalkan bahawa Daerah di Pahang yang terbabit ialah Kuantan, Pekan dan Rompin, Johor (Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru) serta Sabah (Pantai Barat (Ranau dan Kota Belud), Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) dan Kudat akan mengalami hujan berterusan pada hari ini (Khamis) dan Jumaat ini.
Khidmat Malaysia melalui Bilik Gerak Info Bencana Khidmat Malaysia (BGIB) telah mengarahkan supaya Bilik Gerakan Negeri dan Bilik Operasi di peringkat Kawasan/Parlimen yang terlibat dibuka segera dan ianya mestilah diaktifkan secara berterusan. BGIB akan terus memantau perkembangan semasa untuk menyalurkan bantuan yang diperlukan di negeri Johor.
Seperti tahun 2023, negeri Johor telah mengalami bencana banjir yang naik mendadak dalam tempoh hanya 3 hari sahaja. Bermula pada 1 Mac dengan hanya menempatkan 1,591 orang daripada 560 keluarga di empat daerah, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan terus bertambah kepada 24 ribu orang yang ditempatkan di 177 pusat pemindahan pada 2 Mac dan pada 3 Mac, mangsa banjir di Johor terus melonjak kepada 34,849 orang.
Semoga peristiwa ini akan dijadikan iktibar kepada kita semua supaya sentiasa bersiap sedia pada setiap masa.
BERKHIDMAT UNTUK KEMANUSIAAN, BERAMAL KERANA ALLAH
KHAIRUL FAIZI AHMAD KAMIL
Ketua Pengarah Khidmat Malaysia
20 Mac 2025, 3.50 petang
Ulasan
Catat Ulasan