
Pentadbiran Trump panik selepas dokumen pembunuhan JFK dedah data peribadi
Oleh BERNAMA - Mac 22, 2025 @ 8:05am
ANKARA: Pentadbiran Trump berusaha menangani kesan buruk selepas mendedahkan ribuan halaman dokumen berkaitan pembunuhan John F Kennedy (JFK) pada 1963, yang secara tidak sengaja mendedahkan data peribadi sensitif.
Anadolu Ajansi, yang memetik The New York Times pada Khamis melaporkan, ia membabitkan 64,000 halaman yang didedahkan oleh Arkib Negara, atas arahan tidak dirancang Trump.
Ratusan daripadanya mengandungi nombor Keselamatan Sosial dan maklumat peribadi lain tanpa disunting, termasuk milik kakitangan Kongres, penyelidik perisikan serta sekurang-kurangnya seorang bekas duta Amerika Syarikat (AS).
Menurut laporan itu, sebahagian individu terjejas masih hidup. Sebelum ini, dokumen yang sama didedahkan dengan maklumat tersebut disunting dan disembunyikan, namun arahan spontan Trump pada Isnin lalu meminta dokumen tanpa suntingan, tanpa mempertimbangkan akibatnya.
Peguam keselamatan negara, Mark S Zaid memberitahu, pendedahan itu mungkin melanggar undang-undang kerahsiaan Persekutuan.
Bagaimanapun, tindakan undang-undang yang boleh diambil oleh individu terjejas bergantung pada butiran teknikal berkaitan dasar penyimpanan data kerajaan.
"Nombor Keselamatan Sosial adalah antara data paling sensitif yang dipertanggungjawabkan kepada kerajaan AS untuk dilindungi dan ini adalah pelanggaran yang serius," kata Zaid.
Rumah Putih mengakui yang pegawai hanya mula meneliti fail bagi mengenal pasti maklumat peribadi yang terdedah selepas ia diterbitkan, bukannya sebelum itu.
Pada Rabu, pentadbiran mengarahkan semakan semula rekod bagi mengesan nombor Keselamatan Sosial yang terdedah dan mengarahkan Pentadbiran Keselamatan Sosial untuk mengeluarkan nombor baharu kepada individu terjejas.
Pihak yang terkesan juga akan diberikan pemantauan kredit percuma, menurut seorang pegawai kanan. Kemungkinan besar, semua individu yang terjejas adalah warga emas, kumpulan yang sangat terdedah kepada kecurian identiti.
Laporan Times turut menyatakan, walaupun tanpa suntingan, fail yang baru didedahkan itu tidak menunjukkan sebarang maklumat baharu yang signifikan mengenai pembunuhan JFK, walaupun pentadbiran Trump menguar-uarkan pendedahan itu secara besar-besaran.
Pakar sejarah yang meneliti dokumen itu tidak menemui bukti kehadiran penembak kedua atau sebarang pendedahan yang menyokong teori konspirasi.
Sebaliknya, sebahagian besar bahan itu berkaitan operasi perisikan AS semasa Perang Dingin, termasuk pemantauan CIA terhadap sekutu asing, menurut laporan itu lagi.
Ulasan
Catat Ulasan