'Perlukah pembangkang isyitihar harta demi peruntukan?


Berita
'Perlukah pembangkang isyitihar harta demi peruntukan?

Diterbitkan: Mar 11, 2025 5:57 PM
Dikemaskini: 6:05 PM

Bersatu hari ini menyenaraikan empat alasan mengapa ahli parlimen pembangkang - khususnya PN - menolak memorandum persefahaman (MOU) untuk mendapatkan peruntukan daripada kerajaan.

Selain mendakwa MOU itu menyekat kebebasan bersuara, Bersatu juga mempertikaikan dokumen tersebut yang meminta ahli parlimen pembangkang mengisytiharkan harta.

Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz, berkata tiada keperluan ahli parlimen pembangkang untuk mengisytiharkan harta kerana mereka tidak terbabit secara langsung dalam kerajaan.

Kata Tun Faisal, pada prinsipnya hanya seseorang yang berada dalam kerajaan wajib mengisytiharkan harta dan ia memang menjadi amalan sebelum ini, sama ada ketika BN atau PN menjadi kerajaan.

Namun, tambahnya, tiada keperluan untuk ahli parlimen pembangkang mengisytiharkan harta kerana mereka tidak terlibat secara langsung dalam peruntukan kerajaan seperti anggota kabinet, dan ahli parlimen yang memegang jawatan dalam agensi atau syarikat berkaitan kerajaan.

"Peluang untuk penyalahgunaan peruntukan lebih tinggi dalam kalangan ahli parlimen kerajaan," katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu dilaporkan berkata, parti itu mempunyai sebab dan asas tersendiri untuk tidak bersetuju dengan syarat yang ditetapkan kerajaan berhubung peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang.

Menurut Muhyiddin, syarat yang ditetapkan dalam MOU itu adalah "terlalu luar biasa" dan ketat seolah-olah terpaksa menyerahkan segala-galanya kepada kerajaan demi peruntukan antara RM200,000 hingga RM300,000.

Jelasnya, PN sudah membaca kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yussof, berhubung status Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang dikatakan bakal menerima peruntukan.

Tun Faisal berkata peruntukan kepada seseorag ahli parlimen pembangkang tidak sepatutnya bergantung kepada sebarang perjanjian atau MOU, sebaliknya perlu diagihkan secara adil dan telus.

Katanya kerajaan sekarang juga bukan bersifat minoriti atau memiliki kelebihan tipis sehingga memerlukan perjanjian atau persefahaman sebelum menyalurkan peruntukan.

"Malah, janji sebegini terkandung dalam manifesto perdana menteri dan partinya (PH) dalam PRU ke-15.

"Peruntukan ini harus diberikan secara telus dan saksama tanpa syarat yang membebankan atau bertentangan dengan prinsip demokrasi, serta tanpa sebarang sekatan terhadap kebebasan bersuara ahli parlimen pembangkang," katanya.

Ulasan