
PN bersedia jadi kerajaan semula
MUHYIDDIN Yassin berucap pada majlis Iftar Presiden Bersatu bersama media di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM), semalam. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Oleh MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI
21 Mac 2025, 8:20 am
PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) bersedia menjadi ‘kerajaan semula’ di Putrajaya jika diberi peluang sekali lagi memerintah sekaligus membetulkan kegagalan hari ini termasuk dalam menyelesaikan isu asas rakyat.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, gabungan itu mempunyai jalan penyelesaian terbaik kepada segala permasalahan yang timbul dan terbukti semasa pandemik Covid-19.
Beliau bagaimanapun menegaskan, sebarang perubahan kerajaan perlu melalui proses demokrasi.
“Kita (PN) boleh betulkan keadaan. Rakyat kini berhadapan dengan situasi yang amat sukar, pendapatan tidak meningkat, barang naik luar jangkaan, subsidi sudah tidak ada, ini amat menyulitkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Iftar Bersama Media di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM) semalam.
Muhyiddin berkata, beliau tidak bercakap kosong sebaliknya gabungan itu telah membuktikan kemampuan menerajui negara termasuk semasa berdepan pandemik Covid-19.
Katanya, walaupun tiada rujukan menguruskan wabak ketika itu, kerajaan gabungan itu berjaya mentadbir dengan baik dan berjaya keluar daripada pandemik.
“Masa itu tak ada vaksin tak ada apa semua. Tapi akhirnya kita dapat menyelesaikan masalah ini termasuk menyelamatkan ekonomi negara,” katanya.
Katanya, sehingga hari ini orang ramai yang ditemuinya masih mengucapkan terima kasih atas inisiatif diperkenalkan kerajaan PN seperti moratorium pinjaman dan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Mereka kata kalaulah tidak adanya apa disebutkan soal subsidi ataupun moratorium yang kita sediakan waktu itu, apalagi pengeluaran KWSP dan dan sebagainya, sebahagian besar mereka tidak akan dapat terus hidup,” katanya. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan