Promosi TVET untuk tarik lebih ramai pelajar



Promosi TVET untuk tarik lebih ramai pelajar
March 10, 2025

Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff

KUALA LUMPUR: Banyak institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang telah ditubuhkan di seluruh negara, namun masih menghadapi masalah kekosongan pelajar.

Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff berkata, beliau mencadangkan supaya kerajaan memberi penekanan lebih kepada promosi TVET bagi memastikan lebih ramai pelajar memilih laluan itu.

“Selain memastikan TVET ada di setiap daerah, yang lebih penting adalah mempromosikan bidang ini kepada rakyat, terutama pelajar.

“Saya lihat sudah banyak institusi TVET di kawasan saya, termasuk di Bachok seperti kolej vokasional dan Giat MARA, tetapi masih ada banyak kekosongan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mencelah ucapan Senator Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh dalam perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Negara, di sini, hari ini.

Wan Martina turut menyoal langkah-langkah yang boleh diambil bagi memastikan semua kekosongan di kolej komuniti atau kolej TVET dapat diisi sepenuhnya bagi mengoptimumkan manfaat pendidikan teknikal dan vokasional kepada masyarakat.

“Macam mana kita nak buat supaya semua kekosongan di kolej komuniti ataupun kolej TVET ini terisi,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/3/2025

Ulasan