
'Proses rekod keterangan Ismail Sabri ditangguh atas faktor kesihatan'
04 Mac 2025 09:03pm
Masa membaca: 2 minit
SHAH ALAM - Proses merekod keterangan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dijadualkan pada Rabu terpaksa ditangguhkan atas faktor kesihatannya.
Menurut sumber, keterangan Ismail Sabri oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan direkodkan pada Jumaat.
"Proses merekod percakapan beliau (Ismail Sabri) esok ditangguhkan pada jam 10 pagi, Jumaat di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
"Beliau ada MC (sijil cuti sakit). Penangguhan kerana tahap kesihatan Ahli Parlimen Bera itu yang rendah," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan Ismail Sabri akan hadir untuk direkod keterangan kali kedua berhubung kes rasuah dan pengubahan wang haram berhubung isu Keluarga Malaysia membabitkan dana pengiklanan dan promosi agenda kerajaan bernilai RM700 juta.
Pada Isnin, menerusi sidang akhbar Azam dilaporkan berkata, bekas pemimpin itu merupakan suspek bagi siasatan kes berkenaan.
SPRM telah merakam keterangan 31 saksi dalam kes terbabit selepas menerima aduan pada awal tahun lepas.
Pada 10 Februari lepas, Ismail Sabri telah menghantar kepada SPRM maklumat pengisytiharan harta sebelum keterangannya direkodkan pada 19 Februari lepas.
Artikel Berkaitan:'Ismail Sabri hadir esok' - Azam Baki
Kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
SPRM dilapor telah menyita wang tunai kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa antaranya Baht, Riyal, Pound Sterling, Won, Euro, Swiss Franc dan Yuan, serta 16 kilogram jongkong emas yang dianggarkan bernilai RM7 juta.
Ulasan
Catat Ulasan