Proses rekod keterangan Ismail Sabri dijangka sambung lagi minggu depan

Proses rekod keterangan Ismail Sabri dijangka sambung lagi minggu depan

20 Mac 2025 03:51pm
Masa membaca: 2 minit

Ismail Sabri hadir ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada Khamis untuk direkod keterangan berhubung kes rasuah dan pengubahan wang haram.

PUTRAJAYA - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selesai memberi keterangan hampir lima jam di hari kelima pada Khamis, di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini, berhubung kes rasuah dan pengubahan wang haram.

Beliau yang menaiki Toyota Vellfire sebelum itu tiba pada jam 9.54 pagi dengan diiringi kenderaan polis.

Ahli Parlimen Bera itu dilihat beredar pada jam 2.51 petang.

Ismail Sabri juga sempat membuka tingkap kenderaan dan mengangkat tangan kepada petugas media.


Ismail Sabri yang menaiki Toyota Vellfire hadir ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada Khamis untuk direkod keterangan berhubung kes rasuah dan pengubahan wang haram.

Ketika ditanya pemberita adakah keterangannya akan disambung pada keesokan hari, dalam nada perlahan beliau memaklumkan 'cuti'.

"Cuti..cuti," ujarnya ringkas.

Sementara itu, tanpa mendedahkan tarikh secara tepat, sumber memaklumkan keterangan Ismail Sabri akan disambung pada minggu depan.

Pada 3 Mac, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, Ismail Sabri adalah suspek bagi siasatan kes rasuah serta pengubahan wang haram susulan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta dalam sebuah 'safe house' susulan serbuan dilakukan pihaknya.

SPRM juga dilaporkan menyita 13 akaun membabitkan nilai lebih RM2 juta bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Semua hasil rampasan turut dikaitkan dengan perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta program publisiti sewaktu Ismail Sabri memegang jawatan Perdana Menteri kesembilan.

Terbaharu, Azam turut mengesahkan penahanan reman tiga hari seorang pengurup wang berusia lingkungan 40-an pada Isnin untuk membantu siasatan kes terbabit.

Ulasan