
Protes Ekrem gegar Turkiye, Erdogan mahu tamatkan
Astro Awani
26/03/2025 07:45 MYT
Ribuan rakyat tetap turun ke jalanan dan majoriti tunjuk perasaan berlangsung secara aman sehingga lewat malam. - Foto AP
ISTANBUL: Penunjuk perasaan antikerajaan di Turkiye menyatakan komitmen mereka untuk meneruskan kempen tunjuk perasaan susulan tindakan penjara ke atas Datuk Bandar Istanbul.
Mereka tetap turun ke jalanan walaupun berdepan tangkapan beramai-ramai dan pertempuran dengan pihak polis.
Presiden Recep Tayyip Erdogan pada Isnin menggambarkan tindakan penunjuk perasaan itu sebagai satu “pertunjukan” dan menegaskan gerakan tersebut akan berakhir tidak lama lagi.
Namun, sejak Datuk Bandar Ekrem Imamoglu ditahan minggu lalu, ratusan ribu penunjuk perasaan telah berkumpul di dataran, jalan raya dan kampus universiti di seluruh negara setiap malam bagi menuntut pembebasannya dan hak asasi rakyat.
Ekrem telah ditahan oleh mahkamah pada Ahad sementara menunggu perbicaraan atas tuduhan rasuah, namun beliau menafikan semua pertuduhan yang dikenakan ke atasnya.
Golongan penunjuk perasaan, parti pembangkang, pemimpin Eropah dan kumpulan hak asasi manusia menyifatkan penahanan Ekrem sebagai tindakan bermotifkan politik yang mencabar prinsip demokrasi dan sistem keadilan.
Walaupun perhimpunan tersebut diisytiharkan sebagai haram, ribuan rakyat tetap turun ke jalanan dan majoriti tunjuk perasaan berlangsung secara aman sehingga lewat malam apabila pihak polis bertindak balas menggunakan belantan dan semburan lada.
Tindakan keras pihak polis termasuk tangkapan ke atas lebih 1,400 orang, selepas berlakunya insiden lontaran objek ke arah pasukan keselamatan oleh sebilangan kecil peserta.
Ulasan
Catat Ulasan