

Berita
Sapura: Kalaulah syor Najib tiga tahun lalu diterima, kata Puad
Diterbitkan: Mar 19, 2025 4:18 PM
Dikemaskini: 4:19 PM
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Mohd Puad Zarkashi berkata masalah yang melanda Sapura Energy Berhad (SEB) hari ini mungkin dapat dielakkan jika syor bekas perdana menteri Najib Razak bagi membantu syarikat itu tiga tahun lalu diterima.
Puad membangkitkan cadangan yang disuarakan Najib dalam debatnya bersama Pengerusi PH Anwar Ibrahim yang ketika itu menjadi ketua pembangkang.
“PMX (Anwar) tidak setuju syor Najib untuk bantu Sapura Energy. Dia mengesyorkan audit forensik.
“Kalau tiga tahun dahulu syor Najib ini diterima mungkin aset, telaga minyak Sapura di luar negara dan saham dalam SEB dan OMV Aktiengesellschaft (OMV AG) tidak terjual. Itu membantu Sapura bangkit semula,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Ketika itu, Najib mencadangkan agar Petronas mengambil alih SEB atau kerajaan menjadi penjamin pinjaman bank oleh SEB yang dibelenggu hutang.

Pada minggu lalu, Sapura Energy memaklumkan telah menerima suntikan dana RM1.1 bilion sebagai pelaburan daripada Malaysia Development Holding Sdn Bhd (MDH) – sebuah syarikat khas yang ditubuhkan di bawah Menteri Kewangan (Diperbadankan).
Suntikan itu akan digunakan secara eksklusif untuk membayar hutang syarikat minyak dan gas itu kepada 2,000 vendor, katanya.
Langkah itu mencetuskan perdebatan hangat antara kerajaan dan pemimpin pembangkang, termasuk persoalan sama ada ia boleh dikategorikan sebagai langkah bailout atau tidak.
Mengulas lanjut, Puad berkata pembangkang sememangya tidak akan setuju dengan langkah menyuntik dana untuk membantu SEB.
“Hatta kalau PH masih pembangkang, mereka juga akan membantah. Ini terbukti tiga tahun lalu semasa debat Najib-Anwar.
“...Kini (PAS dan Bersatu) menggunakan debat Najib-Anwar untuk mengecam tindakan ‘u-turn’ Anwar,” katanya lagi.
Namun, bagi Puad, suntikan dana RM1.1 bilion kepada SEB perlu diteruskan.
“Sepatutnya mereka yang mengelirukan fakta ekonomi boleh dianggap penjenayah ekonomi dan didakwa. Malangnya Malaysia tidak ada akta khusus mengenainya,” katanya lagi.
Ulasan
Catat Ulasan