Serpihan SpaceX Starship jejas 240 penerbangan



Serpihan SpaceX Starship jejas 240 penerbangan
SERPIHAN kapal angkasa SpaceX Starship dilihat di langit dari sebuah restoran di Turks dan Caicos di Caribbean.-AFP
Oleh Wartawan Luar Negara
9 Mac 2025, 10:00 am

WASHINGTON: Lebih 240 penerbangan terjejas dengan 24 pesawat diarah mengubah haluan berikutan kebimbangan pelanggaran dengan serpihan kapal angkasa SpaceX Starship yang meletup di udara ketika pelancarannya kelmarin.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) mengeluarkan arahan henti berlepas selama lebih sejam untuk pesawat di empat lapangan terbang Florida di Miami, Fort Lauderdale, Orlando dan Palm Beach.

Insiden letupan kedua berturut-turut roket gergasi itu mengakibatkan 171 kelewatan berlepas, 28 penerbangan dialihkan dan 40 pesawat di udara ditahan selama purata 22 minit sementara kawasan tindak balas serpihan FAA diaktifkan.

Secara keseluruhan, sebanyak 171 pesawat mengalami kelewatan purata selama 28 minit dan FAA sudah mengarahkan SpaceX untuk menjalankan siasaan lanjut berhubung kejadian itu.

FAA berkata, pihaknya akan menyemak semula permohonan lesen SpaceX dan butiran awal daripada penyiasatan kemalangan syarikat itu sebelum menentukan penerbangan kelapan Starship boleh diteruskan.

Roket gergasi SpaceX Starship dilaporkan berpusing dan meletup sejurus selepas dilancarkan dari Texas kelmarin.

Video di media sosial menunjukkan serpihan berapi melintasi langit pada waktu senja berhampiran selatan Florida dan Bahamas.

Sistem roket sepanjang 123 meter itu dibina bertujuan untuk merealisasikan rancangan jutawan dan pemilik SpaceX, Elon Musk untuk menghantar manusia ke Marikh.-AGENSI

Ulasan