‘Siapa nak pantau KSN, adakah cukup sekadar PM?’
March 6, 2025
Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary
KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 tidak mempunyai mekanisme pemantauan akauntabiliti yang tegas serta tiada tindakan jelas terhadap agensi yang gagal mencapai standard kecekapan yang ditetapkan.
Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) mempersoalkan kuasa besar yang diberikan kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) dalam mengawasi prestasi perkhidmatan awam tanpa adanya pemantauan bebas.
“Siapa yang nak pantau KSN, adakah cukup sekadar Perdana Menteri (PM)? Kita faham bila dipantau oleh seorang PM macam-macam boleh berlaku dari segi pelantikan, kenaikan untuk servis dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perbahasan Rang Undang-Undang Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Justeru, beliau mencadangkan agar satu badan bebas seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (PSC) di Singapura ditubuhkan untuk menilai prestasi sektor awam secara lebih telus dan bebas daripada pengaruh kerajaan.
Selain itu, Ahmad Marzuk turut membangkitkan ketiadaan perincian mengenai hukuman atau tindakan tegas terhadap kementerian atau agensi yang gagal mencapai tahap kecekapan yang ditetapkan.
“Kita tidak mahu satu lagi beban kepada negara ini yang rakyat akan bercakap benda yang sama bagaimana laporan Ketua Audit Negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/3/2025
Ulasan
Catat Ulasan