
SPRM siasat Ismail Sabri, sita RM170j, jongkong emas 16kg
ISMAIL SABRI YAAKOB
Oleh NURAINA HANIS ABD. HALIM
3 Mac 2025, 6:50 am
PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kini disiasat pihaknya berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram.
SPRM dalam kenyataan berkata, fokus siasatan tertumpu kepada perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta publisiti semasa Ahli Parlimen Bera itu ketika menerajui kerajaan.
“Siasatan ini dijalankan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram,
Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
“Bekas Perdana Menteri itu juga diarahkan untuk membuat pengisytiharan harta di bawah Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009 pada 11 Disember 2024 dan dibuat secara rasmi pada 10 Februari lalu,” katanya.
Menurutnya, Ismail Sabri telah hadir ke pejabat SPRM untuk memberikan keterangan pada 19 Februari lalu.
Jelasnya, SPRM tidak menolak kemungkinan bahawa beliau akan dipanggil semula bagi membantu siasatan selanjutnya.
“Berdasarkan maklumat baharu dan hasil risikan, SPRM telah menahan empat pegawai kanan yang berkhidmat dengan Ismail Sabri.
“Susulan daripada siasatan lanjut terhadap keempat-empat individu berkenaan, SPRM telah menjalankan pemeriksaan di kediaman serta tiga
premis lain yang dipercayai sebagai “safehouse”.
“Hasil operasi penggeledahan di lokasi-lokasi tersebut, SPRM telah menyita wang tunai berjumlah kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata
wang antarabangsa (Baht, Riyal, Pound Sterling (BP), Won, Euro, Swiss Franc, dan Yuan) serta 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai hampir RM7 juta,” katanya.
SPRM berkata, pihaknya telah mengenal pasti kira-kira 10 saksi yang akan dipanggil dalam masa terdekat untuk membantu siasatan.
“Suruhanjaya ini ingin menegaskan bahawa siasatan dijalankan secara bebas, profesional, dan mengikut lunas undang-undang yang berkuat
kuasa.
“SPRM komited untuk memastikan bahawa sebarang bentuk salah laku berkaitan rasuah dan pengubahan wang haram ditangani dengan tegas demi kepentingan negara,” katanya.
Ulasan
Catat Ulasan